
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi menangguhkan sistem pemilihan penempatan pegawai perubatan yang sepatutnya dibuka hari ini telah mencetuskan kekecewaan dalam kalangan doktor terlibat.
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menyelar tindakan KKM yang dilihat tidak menghormati pegawai perubatan dan menyebabkan mereka terbeban dengan ketidaktentuan yang berulang.
“Menteri perlu ambil tindakan proaktif untuk elak perkara sebegini berlaku. Doktor perubatan perlu diberi keutamaan supaya tidak terbeban dengan perkara huru-hara sebegini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, kelewatan dan perubahan mendadak dalam sistem penempatan itu memberi tekanan besar kepada doktor yang sudah sedia berhadapan dengan beban tugas berat dalam sektor kesihatan.
“Doktor merawat manusia, tetapi mereka juga manusia. Bayangkan stres yang mereka lalui dengan masalah yang terpaksa mereka hadapi. Bagaimana mereka sebagai modal insan terlatih boleh memberi tumpuan kepada kerja dan kehidupan mereka?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu bertanggungjawab dalam memastikan proses itu berjalan dengan lancar dan telus bagi mengelakkan lebih ramai doktor berasa terpinggir dan akhirnya meninggalkan sektor perkhidmatan awam.
“Kerajaan mesti bertanggungjawab,” tegasnya mengulas isu sama yang terdahulu tarikh baharu e-penempatan ditetapkan pada 17 Mac, namun pada 15 Mac, KKM mengejutkan pegawai perubatan terlibat dengan satu lagi penangguhan, kali ini kepada 25 hingga 27 Mac.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi e-mel yang dihantar pada lewat malam hujung minggu, menimbulkan persoalan mengenai etika dan profesionalisme KKM dalam menguruskan proses ini. – HARAKAHDAILY 17/3/2025











