
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri yang menuduh pihak membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai berniat mengekalkan kemiskinan dan tahap pendidikan rendah orang Melayu.
Timbalan Ketuanya, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, itu adalah satu tuduhan liar, tidak berasas dan hanya bertujuan untuk menutup kegagalan kerajaan dalam memberi jaminan terhadap hak pemilikan hartanah Bumiputera di bandar.
“Kebimbangan terhadap URA bukan sekadar isu pembangunan, tetapi lebih kepada kesan langsungnya terhadap pemilik asal tanah khususnya Bumiputera yang sudah sedia terhimpit dengan kos sara hidup tinggi di bandar.
“Dengan keperluan persetujuan hanya 75 peratus atau 80 peratus untuk pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan semula, masih terdapat ruang besar bagi pemilik minoriti untuk dipinggirkan secara paksa.
“Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak pemilikan yang dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ahli Dewan Negeri Manjoi, Perak itu berkata, jika kerajaan benar-benar komited untuk membela Bumiputera, Perdana Menteri seharusnya memberi jaminan kukuh bahawa hak pemilik asal tidak akan dikorbankan demi kepentingan pihak berkepentingan.
Namun katanya, sehingga kini, tiada jaminan konkrit diberikan, sebaliknya, kerajaan memilih untuk menyerang pengkritik yang hanya menyuarakan kegelisahan rakyat.
Pemuda PAS tegasnya, berdiri teguh menentang sebarang usaha yang boleh melemahkan pegangan ekonomi Bumiputera di bandar.
“Jika kerajaan ikhlas dalam reformasi pembangunan, maka dasar ini perlu disemak semula secara menyeluruh dengan memastikan hak pemilik asal dijamin, bukannya diletakkan dalam risiko kehilangan tempat tinggal dan punca pendapatan.
“Pemuda PAS mendesak kerajaan supaya menghentikan retorik menyalahkan rakyat dan sebaliknya bertindak dengan adil serta telus dalam menggubal dasar yang melibatkan kepentingan rakyat, terutamanya Bumiputera di bandar,” katanya. – *HARAKAHDAILY 17/3/2025*











