850 asnaf diraikan, terima sumbangan Madinah Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 850 orang terdiri dari anak-anak yatim, armalah dan golongan asnaf telah menerima sumbangan masing-masing sempena program Kasih Ramadan, semalam.

- Advertisement -

Sumbangan berkenaan telah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah pada majlis yang diadakan di Dewan Madinah Ramadan, di sini.

Program ini anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) serta agensi-agensi kerajaan negeri.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed, ketika berucap pada majlis itu memberitahu, program berkenaan antara program utama yang diadakan setiap tahun di Madinah Ramadan sejak ia diperkenalkan pada tahun 1993.

Menurutnya, program tersebut melibatkan penyampaian sumbangan kepada 850 penerima yang terdiri daripada 300 penerima daripada MAIK, 450 penerima mewakili sembilan Jawatankuasa Penduduk (JKP) iaitu Chempaka, Bunut Payong, Kota Lama, Tanjong Mas, Panchor, Kijang, Pasir Tumboh, Demit dan Salor.

“100 penerima daripada kakitangan Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Bahagian Landskap MPKB-BRI,” ujarnya.

Menurut Azi Rahimi, program berkenaan dapat mengeratkan hubungan antara mereka yang terlibat seperti penghulu, Ahli-Ahli Majlis MPKB-BRI serta komuniti setempat.

“Ia sekali gus memperkukuh kecaknaan dan kebajikan Islam dalam masyarakat. Golongan yang kurang berkemampuan sentiasa diutamakan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan program berkenaan secara langsung mahupun tidak langsung.

“Semoga segala usaha kita diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Datuk Zamri Ismail dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Anis Hussein serta lain-lain jemputan. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -