Pihak berkuasa aktif pantauan premis makanan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 112 peniaga makanan di Kelantan dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan sepanjang Ramadan di negeri ini sehingga Sabtu, kelmarin, maklum Hilmi Abdullah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan itu berkata jumlah kompaun berkenaan diperolehi hasil pemeriksaan dijalankan pihaknya membabitkan 3,433 premis di seluruh daerah di negeri ini.

Katanya, bermula 1 Ramadan sehingga semalam, pihaknya telah  menjalankan pemeriksaan terhadap 3,433 premis makanan termasuk di bazar Ramadan dan gerai-gerai di tepi jalan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 112 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan kebanyakannya tidak membuat suntikan typhoid.

“Selain itu, kesalahan paling banyak adalah pemakaian pengendali makanan berkenaan tidak mematuhi peraturan termasuk tidak memakai apron atau kasut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas majlis penyampaian sumbangan Kasih Ramadan kepada 850 penerima asnaf, armalah dan anak-anak yatim di Dewan Madinah Ramadan hari ini.

Program berkenaan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Hilmi memberitahu, jumlah kompaun berkenaan membabitkan nilai RM12,300 dan sehubungan itu, beliau turut mengingatkan semua peniaga makanan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Jika dilihat dari jumlah kompaun yang dikeluarkan, ia adalah rendah berbanding jumlah premis yang diperiksa kerana kebanyakan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kesemua mereka yang dikenakan kompaun melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.

Hilmi turut memberitahu, pasar raya di negeri ini juga akan dibenarkan beroperasi sehingga 11:00 malam menjelang minggu akhir Ramadan.

Katanya, pada 10 terakhir Ramadan pasar raya dibenarkan beroperasi sehingga 11:00 malam sebagai memberi ruang pada umat Islam menyediakan kelengkapan Aidilfitri.

“Ketika ini ada juga anak-anak Kelantan cuti awal untuk bersama keluarga  menyediakan kelengkapan Aidilftri pada saat-saat akhir,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, surat pekeliling berhubung perkara itu belum dikeluarkan. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -