
KUALA NERUS: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa Perikatan Nasional (PN) masih dalam peringkat akhir menilai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurutnya, proses pemilihan berjalan seperti biasa dengan mengambil kira pandangan akar umbi, jentera parti serta kepimpinan negeri sebelum membuat keputusan rasmi.
“Kita belum buat keputusan akhir lagi. Insya-Allah, dalam tempoh kurang daripada seminggu lagi kita akan buat keputusan. Jadi, sabar menunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pelita Raya Terengganu (PELITER) 2025 di Tasik Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.
Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyebut terdapat calon wanita dalam senarai pertimbangan, Ahmad Samsuri tidak mengesahkan atau menolak perkara tersebut.
“Saya tak nak komen ada ke tidak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang secara ringkas kepada pertanyaan media tersebut.
Beliau juga enggan mengulas mengenai kemungkinan calon penyandang dikekalkan dan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi daripada kepimpinan parti dalam masa terdekat.
“Tunggu selepas daripada pengumuman,” ujar Menteri Besar Terengganu itu.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pada 12 April depan, diikuti undi awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar. – HARAKAHDAILY 17/3/2025











