Pembukaan Baitulmaqdis: Dari keadilan Islam ke penindasan Zionis

- Advertisement -

BAITULMAQDIS, bumi penuh keberkatan dan saksi pelbagai peristiwa agung dalam sejarah peradaban manusia, terus menjadi rebutan kuasa sepanjang zaman.

Salah satu detik paling bersejarah adalah pembukaannya oleh Khalifah Umar bin al-Khattab RA pada tahun 15H (636/637M), yang menandakan permulaan era keadilan Islam di kota suci ini.

Meskipun terdapat perbezaan pandangan mengenai tarikh tepat peristiwa agung ini, sama ada 13 Ramadan 15H atau Rabi’ al-Akhir 16H seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Tabari, hakikat yang lebih penting adalah nilai keadilan yang dibawa Islam ketika memimpin dan melindungi hak semua penduduk tanpa mengira agama.

Mari kita menelusuri kembali lembaran sejarah tersebut agar dapat dibandingkan dengan realiti tragis yang menimpa Palestin hari ini.

- Advertisement -

Kedatangan Umar ke Baitulmaqdis: Simbol tawaduk dan keadilan

Saidina Umar al-Khattab RA adalah seorang pemimpin yang terkenal dengan keadilannya. Beliau tidak memasuki Baitulmaqdis dengan lagak keangkuhan sebagai seorang penakluk.

Beliau tiba dengan penuh tawaduk, berpakaian sederhana dan hanya menaiki seekor unta yang ditunggang secara bergilir dengan pembantunya. Penduduk Iliya’ (nama lama Jerusalem) yang terbiasa dengan keangkuhan maharaja Rom dan Parsi terkejut melihat bagaimana pemimpin Islam itu datang tanpa rombongan mewah atau kekuatan ketenteraan yang mengancam.

Ketika Saidina Abu Ubaidah bin al-Jarrah RA, panglima tentera Islam, mencadangkan agar Khalifah Umar tampil lebih gah untuk menunjukkan wibawa kerajaan Islam, beliau dengan tegas menegur:

أَوَلَوْ غَيْرُكَ يَقُولُهَا يَا أَبَا عُبَيْدَةَ، إِنَّكُمْ كُنْتُمْ أَذَلَّ النَّاسِ، وَأَحْقَرَ النَّاسِ، وَأَقَلَّ النَّاسِ، فَأَعَزَّكُمُ اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، فَمَهْمَا تَبْتَغُوا الْعِزَّةَ فِي غَيْرِهِ، أَذَلَّكُمُ اللَّهُ.

“Kalaulah bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah (nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran). Sesungguhnya kita semua ini adalah sehina-hina manusia, adapun kamu semua dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah.”

Inilah prinsip utama pemerintahan Islam: kemuliaan bukan terletak pada kekayaan dan kuasa, tetapi pada keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Perjanjian Umar: Keadilan untuk semua

Setelah penduduk Kristian Iliya’ (Jerusalem) bersetuju menyerahkan kota itu, Khalifah Umar menulis satu perjanjian yang dikenali sebagai al-ʿUhda al-ʿUmariyya yang memberikan jaminan keamanan kepada semua:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. هَذَا مَا أَعْطَى عَبْدُ اللَّهِ عُمَرُ أَمِيرُ المُؤْمِنِينَ أَهْلَ إِيلياءَ مِنَ الأَمَانِ

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ini adalah jaminan keamanan yang diberikan oleh hamba Allah, Umar, Amirul Mukminin kepada penduduk Iliya’.”

Dalam perjanjian itu, Umar menjamin keselamatan jiwa, harta, gereja dan hak keagamaan penduduk Kristian. Tiada paksaan dalam beragama, dan gereja tidak boleh dirampas atau dimusnahkan. Bahkan, selepas hampir 500 tahun dihalau oleh kerajaan Rom, umat Yahudi dibenarkan kembali tinggal di Baitulmaqdis dengan aman.

Keamanan yang dibawa oleh Islam di Baitulmaqdis ini berlangsung selama berabad-abad, sehingga kota suci ini kembali dijajah oleh tangan-tangan zalim yang mengabaikan prinsip keadilan.

Realiti Palestin hari ini: Genosid dan penindasan

Hari ini, Baitulmaqdis dan seluruh bumi Palestin kembali berdarah. Zionis Israel yang menakluki tanah suci ini sejak 1948 bukan sahaja merampas tanah umat Islam, tetapi juga melakukan kezaliman tanpa batas terhadap penduduk asal Palestin.

Rumah-rumah dimusnahkan, masjid dihina, wanita dan kanak-kanak dibunuh, malah usaha pembersihan etnik terus berjalan di depan mata dunia.

Sikap zalim ini amat bertentangan dengan prinsip keadilan yang ditegakkan oleh Khalifah Umar RA ketika membuka Baitulmaqdis. Rasulullah SAW pernah mengingatkan:

اتَّقُوا الظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Jauhilah kezaliman, kerana kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Imam Muslim, no. 2578)

Jika Umar dahulu datang dengan keadilan dan melindungi seluruh rakyat, Zionis Israel hari ini datang dengan kekejaman dan pembunuhan.

Keadaan umat Islam di Palestin hari ini menuntut kita untuk bangkit membela keadilan. Ini bukan sekadar isu bangsa atau politik, tetapi tanggungjawab agama yang wajib dipikul oleh seluruh umat Islam.

Jauhi fahaman Zionisme di Malaysia

Zionisme bukan sekadar penjajahan fizikal di Palestin, tetapi juga agenda ideologi yang menyusup ke seluruh dunia, termasuk Malaysia. Mereka menggunakan media, ekonomi, politik, dan gerakan keagamaan seperti Evangelisme untuk menyebarkan pengaruh serta melunturkan kesedaran umat Islam.

Dalam buku ‘Sang Nila Utama and the Lion of Judah: Dominionism and Christian Zionism in Malaysia’, Ian Buchanan mendedahkan statistik bahawa 70 peratus penganut Kristian di Malaysia adalah Evangelis, dan sebahagian mereka terpengaruh dengan fahaman Christian Zionism yang menyokong Israel atas dasar kepercayaan agama. Fahaman ini bukan sekadar soal teologi, tetapi berkaitan dengan imperialisme global yang memberi manfaat kepada agenda Zionis.

Lebih membimbangkan, naratif ‘neutral’ dan ‘perpaduan sejagat’ semakin digunakan untuk mengaburkan realiti kezaliman Israel. Ini adalah taktik halus untuk melemahkan sokongan terhadap Palestin.

Bahkan, individu pro-Zionis pernah dikenakan tindakan kerana cuba menyebarkan dakyah mereka di Malaysia. Contohnya, tindakan Universiti Malaya menjemput seorang profesor pro-Zionis dari Amerika Syarikat telah menimbulkan kecaman ramai, selepas beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.

Kita bukan sekadar wajib menolak penjajahan Israel, tetapi juga perlu berwaspada terhadap propaganda Zionis yang semakin menular dalam masyarakat.

Kesimpulan: Inspirasi dari sejarah

Pembukaan Baitulmaqdis oleh Umar al-Khattab RA membuktikan bahawa Islam datang bukan untuk menindas, tetapi membawa keadilan dan keamanan.

Malangnya, realiti Palestin hari ini memperlihatkan bagaimana tanah suci itu kini menjadi saksi kepada kezaliman moden yang dilakukan oleh Zionis.

Sebagai umat Islam, kita perlu terus memperjuangkan hak Palestin dengan doa, bantuan dan kesedaran yang berterusan. Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ

“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” (Surah Ibrahim ayat 42)

Baitulmaqdis pasti akan kembali kepada umat Islam, sebagaimana janji Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan berjuang di jalan-Nya.

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN 
16 Mac 2025 | 15 Ramadan 1446H – HARAKAHDAILY 16/3/2025

- Advertisement -