
ARAU: Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau telah menganjurkan Tadarus Al-Quran dan Sumbangan Asnaf yang dilangsungkan di Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil, di sini pada pagi ini.
Program dihadiri 100 peserta ini bukan sekadar menghidupkan Ramadan dengan ibadah, tetapi juga memperkukuh ukhuwah dan kepedulian sosial dalam kalangan peserta.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Arau, Ustazah Latifah Mat memimpin sesi ini yang memberi peluang kepada peserta mendalami Al-Quran dan mengeratkan hubungan sesama mereka melalui aktiviti berkumpulan.
Sebagai tanda penghargaan, setiap peserta tadarus menerima kain sarung dan sarung lengan sebagai cenderahati.
Dalam usaha membantu golongan memerlukan, Muslimat PAS Arau bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Persatuan Wanita Cakna Arau (PEWANA) turut mengagihkan sumbangan berjumlah RM15,000.
Sumbangan tersebut diberikan kepada 100 penerima, termasuk asnaf, guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), guru sekolah PAS, dan Amilin parti.
Agihan tersebut melibatkan 40 penerima dari Arau, 30 dari Kangar, dan 30 dari Padang Besar dalam bentuk barangan keperluan asas serta wang tunai.
Turut hadir dalam program ini ialah Penasihat PEWANA, Husna Hashim, dan Pengarah Program, Nadiah Hashim yang bersama menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Sementara itu, dalam ceramah yang disampaikan, Ustazah Nor Asmah Abdullah menekankan kepentingan memanfaatkan baki Ramadan untuk memohon keampunan dan kesihatan di dunia serta akhirat.
“Pada tiga hari berturut-turut, Nabi SAW ditanya apakah doa yang paling afdal, dan Baginda tetap menjawab: ‘Mohonlah kepada Allah keampunan dan kesihatan di dunia dan akhirat.’
“Ini menunjukkan betapa pentingnya doa ini dalam kehidupan kita,” jelas beliau turut menyeru agar terus memanfaatkan Ramadan dengan membaca Al-Quran dan bersedekah, sejajar dengan tema ‘Muslimat Arau Cinta Al-Quran’. – HARAKAHDAILY 16/3/2025











