
SERDANG: Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk meneruskan inisiatif Wad Kelas Ketiga Percuma sehingga tahun 2028, selari dengan usaha berterusan menuntut hak royalti petroleum yang sepatutnya diterima oleh negeri itu.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, segala inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, berpaksikan bahawa wang yang berada di luar Terengganu seharusnya dikembalikan kepada negeri tersebut.
“Kita masih berpandangan bahawa wang tunai petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya diperoleh oleh negeri Terengganu adalah hak negeri ini dan tidak boleh dinafikan.
“Walaupun ada pihak lain yang berpandangan sebaliknya, bagi kami dan seluruh rakyat Terengganu, ini adalah hak negeri,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan bersama kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu di MAEPS, di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan royalti melalui pelbagai saluran, termasuk rundingan, pertemuan, perbincangan serta surat-menyurat dengan pihak berkaitan.
“Kita akan berusaha dengan pelbagai cara. Insya-Allah, kita berharap ia dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri Terengganu secara keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu telah membelanjakan lebih RM12 juta sejak tahun 2020 bagi melaksanakan program Wad Kelas Ketiga Percuma, yang telah memberi manfaat kepada lebih 224,000 pesakit.
Program itu merupakan langkah penting dalam memastikan rakyat, terutama golongan kurang berkemampuan mendapat akses rawatan kesihatan yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 16/3/2025











