Fokus lindungi generasi muda, haram jual vape

- Advertisement -

SERDANG: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah mengharamkan penjualan vape sebagai usaha melindungi generasi muda daripada pengaruh yang boleh memberi kesan negatif kepada mereka.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang rakyat dan kesejahteraan negeri. 

Beliau mengakui bahawa langkah itu mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak, terutama golongan muda yang menggunakan atau terlibat dalam industri vape.

“Ya kita sedar bahawa akan ada kalangan kelompok yang tidak berpuas hati, tapi saya rasa bagi tanggungjawab sebagai sesebuah kerajaan yang mana kami diamanahkan untuk mengurus tadbir negeri Terengganu.

“Ini adalah untuk melihat masalah yang lebih besar kepada rakyat seluruhnya termasuklah generasi yang akan datang kepada mereka anak muda dan kepada generasi akan datang.

“Mereka adalah anak yang masih lagi di bangku sekolah, sekolah menengah, sekolah rendah yang perlu dijauhkan daripada unsur unsur yang tidak memberi banyak manfaat kepada mereka.

“Jadi ini tanggungjawab kerajaan suka atau tidak suka. Inilah tanggungjawab yang kami terpaksa laksanakan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas program Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu di MAEPS, di sini semalam.

Beliau turut berharap agar masyarakat memahami bahawa keputusan ini dibuat bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, tetapi untuk memastikan rakyat Terengganu, khususnya golongan muda, membesar dalam persekitaran lebih sihat dan bebas daripada pengaruh negatif.

“Jadi saya harap semua pihak termasuklah anak muda yang masih lagi menggunakan vape itu supaya faham bahawa apa yang kami buat ini adalah untuk menjaga maslahah masyarakat yang lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2025

- Advertisement -