Gesaan siasatan terhadap Dato’ Ng Suee Lim

- Advertisement -

GESAAN supaya suatu siasatan terhadap Dato’ Ng Suee Lim (ADN Selangor Kawasan Sekinchan) berkenaan dengan isu penggunaan titah KDYMM Tuanku Sultan Selangor bagi urusan berkaitan penukaran status hartanah.

1. Terdapat dua (2) surat masing-masing bertarikh 06 Mac 2023 dan 30 Mei 2024 yang telah ditandatangani oleh Dato’ Ng Suee Lim [rujuk: lampiran “a”];

2. Keaslian dan kandungan surat-surat tersebut tidak pernah pada bila-bila masa disangkal atau dipertikaikan oleh pihak Dato’ Ng Suee Lim;

3. Kedua-dua surat tersebut telah ditujukan kepada Tuan Yang Dipertua, majlis daerah Sabak Bernam (YDP MDSB) dengan memetik titah KDYMM Tuanku Sultan Selangor ketika lawatan rasmi ke Sekinchan bertarikh 22 Mei 2017 bagi menyokong permohonan untuk meminda semula status hartanah tersebut daripada komersil kepada pertanian;

- Advertisement -

4. Saya telah pun bertanya kepada Dato’ Ng Suee Lim dalam Sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini pada tarikh 22 Februari.2025 sama ada titah yang disekalikan dalam kedua-dua surat tersebut  ‘benar-benar wujud atau tidak?’ Kerana ianya hanya mula dinyatakan oleh beliau pada tahun 2023 dan tahun 2024 sedangkan titah tersebut dikatakan telah dititahkan pada 22 Mei 2017 tetapi malangnya soalan saya ini enggan dijawab oleh beliau;

5. Berdasarkan garis masa, sudah terang lagi bersuluh bahawa Dato’ Ng Suee Lim sebagai ADN Selangor kawasan Sekinchan semasa titah tersebut dikatakan telah dititahkan, telah gagal untuk akur kepada titah tersebut untuk tempoh masa selama lebih kurang enam (6) tahun sehinggalah surat-surat tersebut dikeluarkan pada tahun 2023 dan tahun 2024;

6. Justeru itu, saya menggesa Dato’ Ng Suee Lim untuk memohon ampun kepada KDYMM Tuanku Sultan Selangor atas kegagalan beliau dalam mematuhi titah tersebut selama lebih kurang enam (6) tahun;

7. Saya difahamkan bahawa rentetan daripada isu ini, terdapat pihak-pihak yang terkilan telah pun membuat laporan-laporan polis terhadap Dato’ Ng Suee Lim;

8. Justeru itu, saya yakin dan percaya bahawa pihak Polis Diraja Malaysia akan menjalankan suatu siasatan yang telus, adil dan saksama. Sekiranya, pihak penyiasatan mendapati bahawa titah tersebut adalah tidak wujud, maka, saya menggesa agar pihak wewenang dapat mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap beliau; dan

8. Saya menegaskan bahawa sebagai rakyat Malaysia secara amnya dan sebagai rakyat negeri Selangor secara khususnya, kita semua hendaklah patuh kepada prinsip ‘kesetiaan kepada raja dan negara’ yang merupakan rukun kedua dalam rukun negara kita.

Daulat tuanku,
Daulat tuanku,
Daulat tuanku.

USTAZ RAZALI SAARI
ADN Selangor Kawasan Sungai Panjang – HARAKAHDAILY 16/3/2025

- Advertisement -