Gobind Pengerusi baharu DAP, Guan Eng Penasihat

Gobind Singh (kiri) menggantikan Lim Guan Eng (tengah) sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Lim Guan Eng dilantik sebagai Penasihat DAP selepas gagal mempertahankan jawatan disandangnya sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu, semalam.

Ahli Parlimen Bagan itu menggantikan penyandangnya, Tan Kok Wai yang sebelum ini mengumumkan tidak bertanding.

- Advertisement -

Jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP kini dipegang Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, manakala Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP menggantikan Gobind.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan mengekalkan jawatan utama parti itu sebagai Setiausaha Agung bagi penggal kedua berturut-turut.

Lima jawatan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP diisi oleh Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; serta EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar.

Terdahulu, Gobind Singh Deo meraih undian tertinggi dalam pemilihan CEC DAP dengan 2,785 undi, manakala Anthony Loke, berada di tempat kelima dengan 2,508 undi.

Guan Eng jatuh 18 tangga berbanding tempat ke-8 dalam pemilihan CEC DAP sebelum ini. Adiknya yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, gagal memperoleh tempat dalam senarai 30 anggota CEC apabila berada di kedudukan ke-31 dengan 1,573 undi.

Antara pemimpin yang kali ini tidak terpilih ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, serta penyandang Vincent Wu dan Thomas Su.

Antara muka baru yang terpilih ialah Setiausaha Politik Anthony Loke, J Arul Kumar; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, serta Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -