
KUALA LUMPUR: Senator Baharuddin Ahmad meminta penjelasan Kementerian Pendidikan sama ada mempunyai perancangan untuk mengintegrasikan sekolah-sekolah yang mengalami kekurangan pelajar bagi memastikan kelangsungan operasi sekolah tersebut.
Ini, katanya kerana masalah utama yang dihadapi sekolah di kawasan bandar ialah kepadatan murid dalam bilik darjah.
Tambahnya, di luar bandar pula cabarannya adalah jumlah pelajar yang semakin berkurangan, sama ada di sekolah kebangsaan mahupun sekolah jenis kebangsaan (SJK).
“Contoh di Negeri Perlis, sekolah jenis kebangsaan di Mata Ayer itu, pelajar daripada Cina memang sedikit. Jadi kekosongan itu ditampung oleh pelajar Melayu dan pelajar Siam.
“Jadi, adakah pihak kementerian bercadang untuk mengintegrasikan sekolah-sekolah yang seperti ini untuk memastikan pelajarnya mencukupi?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, strategi yang digunakan adalah antaranya pemindahan lokasi ke tempat yang memerlukan sekolah tersebut.
“Untuk optimumkan tenaga pengajar dan sumber yang lain, sekolah kurang murid kita laksanakan kelas bercantum. Darjah dua dengan darjah tiga, darjah empat dan darjah lima,” katanya.
Pada soalan asal, Baharuddin meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah pelan jangka pendek Kementerian dalam menangani isu kepadatan murid antara 40 hingga ke 50 orang dalam satu kelas, terutamanya di kawasan bandar, dan apakah pelan jangka panjang Kementerian bagi menyeragamkan kesemua persekolahan menjadi satu sesi di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 12/3/2025











