Kerajaan sedang atasi masalah di Muara Merang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penduduk sekitar Muara Merang terus mengikuti rapat perkembangan usaha penambahbaikan muara yang sedang dijalankan, sementara kerajaan negeri memberi jaminan menerusi penyelesaian jangka panjang. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim memberitahu, projek mendalamkan muara dan pembinaan benteng pemecah ombak akan direalisasikan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, kerja-kerja awal sedang dilakukan bagi menutup alur-alur kecil supaya hanya satu laluan pelayaran utama digunakan.

Kata beliau, langkah itu bertujuan mengurangkan kesan mendapan pasir yang menjadi masalah utama di kawasan itu sejak puluhan tahun. 

“Saya meneliti pelbagai nada komen dalam hantaran sebelum ini. Terima kasih kepada semua yang bersuara dan memberikan pandangan. Semua kita berhak untuk bersuara kerana Muara Merang adalah nadi ekonomi bagi ribuan orang sama ada nelayan atau pelancong.

“Inilah pintu masuk terdekat bagi Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.

Menurut beliau, masalah mendapan pasir di Muara Merang telah berlarutan sejak sekian lama berikutan sebelum ini tiada projek mendalamkan muara atau pembinaan benteng pemecah ombak yang diluluskan.

Bagaimanapun, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan telah meluluskan peruntukan bernilai ratusan juta ringgit untuk projek berkenaan, yang kini dalam fasa reka bentuk. 

“Apa yang ditunggu selama ini oleh warga Merang telah berhasil kita dapatkan kelulusan.

“Projek bernilai ratusan juta untuk membina breakwater (pemecah ombak) dan mendalamkan Muara Merang sedang dalam proses reka bentuk. Ia akan menjadi ‘turning point’ kepada masalah puluhan tahun yang telah dihadapi.

“Tindakan yang kita ambil dalam tempoh seminggu ini adalah langkah sementara dan bukannya sebahagian dari komponen projek,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Merang turut memainkan peranan penting dalam memastikan kerja-kerja penggalian sementara dapat dijalankan dengan baik. 

“Mereka lebih arif dengan segala pergerakan pasir dan aliran air di sini. Tentunya kita tak boleh menyalahkan sesiapa kerana proses alam semulajadi bukan semua di bawah kawalan kita.

“Apa yang penting, dalam tempoh masa kita memikul tanggungjawab, amanah ini kita tunaikan sebaiknya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

- Advertisement -