AI bakal turunkan kos input pertanian

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perladangan mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, namun isu kos dan kelayakan tenaga kerja tempatan masih menjadi persoalan.

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail berkata, teknologi itu berpotensi menurunkan kos input pertanian, tetapi pekebun kecil mungkin tidak mampu untuk terlibat dalam program tersebut.

“Saya sangat yakin inovasi AI bakal berjaya dan menurunkan kos input pertanian.

“Berapa pihak yang mampu untuk mendapat manfaat dari program ini kerana kos keberkesanan sangat ketara dan pekebun kecil tidak mampu untuk turut terlibat,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau turut membangkitkan isu kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor itu serta mencadangkan penggunaan dron bagi pemotongan tandan sawit sebagai langkah mengurangkan tenaga kerja luar.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata kos pembangunan aplikasi AI dan dron Internet (IOD) tidak terlalu tinggi.

“Oleh kerana teknologi itu boleh dibangunkan dengan menggunakan platform sumber terbuka serta peranti pintar yang sedia ada,” katanya.

Hussin dalam soalan asal meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan sejauh mana teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat membantu mengatasi kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan dan komoditi. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

- Advertisement -