
KUALA LUMPUR: Peranan pasukan bomba sukarela yang amat penting dalam membantu operasi menyelamat, khususnya di kawasan luar dan pinggir bandar.
Justeru, kata Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, mereka perlu diberikan perhatian yang lebih serius dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025.
Tambahnya, walaupun key performance indicator (KPI) menyasarkan respons bomba dalam tempoh 14 minit, keadaan di luar bandar sering kali menyebabkan kelewatan yang mengakibatkan rumah musnah sepenuhnya sebelum bantuan tiba.
“Peranan mereka sangat penting, namun dalam pindaan ini tidak dinyatakan dengan jelas mengenai perlindungan atau kebajikan yang disediakan untuk mereka.
“Mereka menjadi barisan hadapan, tetapi tiada jaminan kebajikan yang kukuh diberikan kepada mereka,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga membangkitkan kebimbangan terhadap Seksyen 4D(4) yang menyatakan bahawa ahli Pasukan Kadet Bomba Malaysia tidak berhak menerima elaun atau saraan, yang boleh menjejaskan minat golongan remaja dan belia untuk menyertai pasukan tersebut.
“Begitu juga dengan Seksyen 4B(3) yang menetapkan pasukan bomba sukarela tidak berhak menerima sebarang pampasan sekiranya pasukan mereka dibatalkan.
“Ini seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak menghargai sumbangan mereka,” tegasnya.
Sementara itu, Alias turut menyuarakan kebimbangan mengenai Seksyen 4D(5) yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk mewajibkan pemilik premis menubuhkan pasukan bomba persendirian sekiranya terdapat risiko kebakaran.
“Walaupun langkah ini baik dari segi keselamatan, ia boleh membebankan sektor swasta, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Kos menubuhkan pasukan bomba persendirian melibatkan latihan, peralatan, dan pengurusan yang tinggi, namun tiada insentif atau bantuan kewangan ditawarkan dalam pindaan ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan garis panduan operasi pasukan bomba persendirian, termasuk keperluan latihan berkala serta pemilikan peralatan tertentu.
Katanya, ketiadaan standard yang jelas boleh menjejaskan keberkesanan pasukan ini dalam menangani kecemasan.
Dalam perbahasannya, beliau juga menyentuh Seksyen 36K yang mewajibkan pendaftaran semua peralatan pemadam kebakaran.
“Pihak yang menjual atau memasang peralatan tanpa pendaftaran boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun.
“Walaupun niatnya baik untuk meningkatkan keselamatan, kos tambahan akibat proses pendaftaran boleh membebankan pengguna, pemilik premis perniagaan, serta penduduk kediaman.
“Jika proses ini melibatkan bayaran tinggi atau birokrasi berlebihan, ia boleh menyebabkan harga peralatan keselamatan kebakaran meningkat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Alias meminta kerajaan memberi jaminan bahawa mekanisme pendaftaran ini tidak akan membebankan industri dan pengguna, selain mencadangkan agar insentif seperti pengecualian cukai, geran, atau subsidi diperkenalkan bagi perniagaan dan pemilik bangunan yang melabur dalam sistem keselamatan kebakaran berkualiti tinggi.
Mengakhiri perbahasan, beliau turut mencadangkan bantuan khas untuk kerja-kerja pendawaian semula rumah golongan B40 sebagai langkah pencegahan kebakaran.
“Golongan ini berisiko tinggi kerana tidak mampu menanggung kos pendawaian semula bagi rumah lama yang berpotensi mengalami litar pintas dan kebakaran. Adakah kerajaan bercadang menyediakan bantuan khas bagi tujuan ini?” soalnya.
Beliau turut mencadangkan agar bomba sukarela diberi latihan khas dalam pemeriksaan keselamatan pendawaian, termasuk menawarkan pemeriksaan percuma kepada rumah golongan B40. – HARAKAHDAILY 5/3/2025











