
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 untuk memasukkan peruntukan bagi pendaftaran Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dibentangkan bacaan kali pertama hari ini.
Bagaimanapun, Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) melahirkan kebimbangannya terhadap kebajikan dan perlindungan lebih komprehensif kepada PBS.
Beliau meminta kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar memberikan perhatian termasuk menilai semula kebajikan di samping memberi elaun secara bulan kepada anggota.
“Faedah kewangan dan kadar elaun yang menarik kepada ahli PBS untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai pasukan ini di samping anggota ini juga terdedah dengan bahaya risiko tinggi.
“Saya mengambil contoh kalau badan sukarela yang lain seperti pasukan RELA, ada elaun, mengapa tidak pasukan PBS ini diberikan elaun seperti mana RELA, kalau boleh elaun ini ikut jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Abdul Khalib berkata lagi, selain itu penambahbaikan turut dibuat dalam aspek sumber kewangan PBS bagi menyelenggara jentera dan peralatan lebih bagi memperkukuhkan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, PBS dalam kawasan Rompin terpaksa menggunakan kelengkapan peribadi termasuk kenderaan bagi melaksanakan tugasan yang diberikan meskipun kelengkapan tidak setanding bomba rasmi.
“Saya mencadangkan penambahbaikan dibuat satunya ialah peningkatan sumber kewangan PBS untuk menyelenggara jentera dan mendapat peralatan yang lebih baik setaraf bomba yang biasa.
“Dekat kawasan saya, memang peralatannya saya kira amat daif, ada 10 anggota PBS kereta pakai proton Arena, boleh muat dua orang, lapan orang kereta sendiri, ini masalahnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025











