Meriah walau becak, peniaga terima pampasan

Pesta Angin Timur (PAT) 2025

- Advertisement -

KANGAR: Pesta Angin Timur (PAT) 2025 tetap berlangsung meriah walaupun tapak penganjuran di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang dilanda hujan lebat dan dipenuhi lumpur.

- Advertisement -

Situasi tersebut menyebabkan 170 lot perniagaan terpaksa ditutup, namun kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan menguruskan pampasan berjumlah RM35,000 kepada peniaga yang terjejas.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pihak pengendali peniaga PAT 2025 bersetuju memberikan pampasan kepada mereka yang terlibat, dan pembayaran kini sedang dalam proses.

“Peniaga yang ingin membuat tuntutan perlu menggunakan nama sendiri, dan insya-Allah semuanya akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Pesta Angin Timur merupakan acara tahunan yang mengangkat warisan budaya dan seni masyarakat utara, khususnya Perlis, dengan tarikan seperti pertandingan wau, silat, persembahan kebudayaan, pameran kraftangan serta jualan makanan tempatan.

Walaupun berdepan cabaran cuaca, PAT 2025 tetap diteruskan dengan beberapa aktiviti dipindahkan ke lokasi alternatif bagi memastikan program berjalan lancar.

“Dengan bantuan Allah SWT serta usaha semua pihak, kita berjaya mengatasi cabaran ini. Pengalaman tahun ini akan menjadi pengajaran dalam pengurusan PAT pada masa hadapan,” ujar Mohd. Shukri. – HARAKAHDAILY 2/3/2025

- Advertisement -