
KUALA TERENGGANU: Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Ibai, di sini dipilih sebagai lokasi utama bagi penganjuran program Madinah Ramadan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program itu diteruskan dengan beberapa penyesuaian, termasuk pelaksanaan di masjid berbanding lokasi terbuka seperti sebelum ini.
“Kita lihat lebih berfokus untuk masyarakat setempat, jadi kita pilih masjid-masjid tertentu sebagai lokasi penganjuran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Sempena Madinah Ramadan dan Isu Semasa di Bilik Exco, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Ridzuan Hashim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang program berkenaan, solat tarawih akan diadakan di masjid, selain turut menyediakan juadah berbuka puasa sebanyak 200 hidangan setiap hari.
Katanya, jumlah itu akan ditingkatkan kepada 500 pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Program jadi tahun ini insya-Allah perasmian kita jemput Ustaz Azhar Idrus untuk memberi pengisian. Kemudian kita ada lagi para asatizah dan pendakwah yang kita jemput bagi menyampaikan ceramah dan tazkirah sepanjang Ramadan,” katanya.
Beliau berkata, antara kelainan untuk lokasi masjid kali ini berhampiran kawasan rekreasi Kuala Ibai yang turut menjadi daya tarikan, di mana orang ramai yang berbuka puasa di Lagoon Kuala Ibai digalakkan untuk turut serta dalam aktiviti di masjid.
“Kita berharap ia menjadi satu trend seperti di Masjid Kuantan, di mana masyarakat beramai-ramai berbuka di kawasan lapang berhampiran masjid,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 26/2/2025











