Ziarah mangsa kemalangan bas sekolah

- Advertisement -

KEMAMAN: Kemalangan melibatkan sebuah bas sekolah di Jalan Kampung Sungai Mas menuju ke Kampung Padang Kubu awal pagi semalam telah mencetuskan kebimbangan ramai, terutamanya keluarga pelajar yang terlibat. 

- Advertisement -

Prihatin dengan nasib mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, segera turun padang untuk menziarahi para pelajar yang tercedera.

Terdahulu, dilaporkan kejadian berlaku sekitar jam 6:50 pagi apabila bas sekolah yang membawa pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bandi hilang kawalan.

Situasi itu menyebabkan bas tersebut terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan mengakibatkan seramai enam pelajar mengalami kecederaan dalam insiden tersebut. 

Razali yang melawat mangsa di Kampung Ladang Tebak menyatakan rasa syukurnya kerana semua pelajar terlibat dalam keadaan stabil dan telah menerima rawatan sewajarnya. 

“Syukur ke hadrat Allah SWT, mereka berada dalam keadaan baik dan mendapat rawatan sewajarnya. Semoga semua mangsa diberi kesembuhan segera,” katanya kepada media, semalam. 

Beliau turut berinteraksi dengan beberapa pelajar yang mengalami kecederaan dan mendengar sendiri pengalaman mereka ketika kejadian berlaku. 

Siti Nur Ariana Abdullah, 16, salah seorang pelajar yang terlibat, berkata dia terkejut apabila bas tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh pokok. 

“Saya duduk seperti biasa. Tiba-tiba, bas bergerak ke tepi jalan dan melanggar pokok. Kemudian, keadaan dalam bas bergoyang dan kepala saya terhantuk pada pemegang tempat duduk di hadapan.

“Saya sempat melihat beberapa kawan-kawan lain turut tercedera, termasuk seorang rakan yang mengalami pendarahan hidung yang tidak berhenti,” katanya. 

Sementara itu, Nurul Shahirah Mohd Rosli, 13, yang sedang tidur ketika kejadian berkata, dia hanya tersedar selepas merasa pening dan mendapati bibirnya berdarah. 

”Saya tidur ketika itu dan bila bangun, saya terkejut dan rasa pening, tengok bibir pun dah berdarah.

“Walaupun mengalami kecederaan, kami bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan pagi tadi dan menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Nur Hidayah Ghazali, 16, pula berkata, dia hanya menyedari kejadian selepas impak hentaman. 

”Mula-mula tak rasa apa, macam tak dengar. Bila dia brek, baru rasa hentakan tu. Lepas tu dah rasa macam kabur.

“Semoga semua rakan-rakan saya terlibat dalam kemalangan diberi kesembuhan segera dan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/2/2025

- Advertisement -