URA: Bukan bodoh, tapi lindungi kepentingan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menuduh parti itu ketandusan isu sehingga terpaksa ‘menjaja mitos perkauman murahan untuk menakut-nakutkan rakyat’.

- Advertisement -

Menurut beliau, kenyataan pemimpin DAP berhubung Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dibantah PAS itu bukan sahaja dangkal, tetapi juga menunjukkan betapa ceteknya pemahaman ahli parlimen itu terhadap implikasi sebenar akta ini kepada rakyat biasa.

“Menentang akta yang memberi kuasa kepada kerajaan dan pemaju untuk merampas hak rakyat bukanlah kebodohan, tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan keadilan tidak diinjak oleh kepentingan golongan berkepentingan.

“Betapa canggihnya strategi kerajaan hari ini. Berikan satu nama yang kelihatan progresif, ‘Akta Pembaharuan Semula Bandar’ dan serta-merta sesiapa yang menentangnya akan dilabel sebagai jumud, anti-pembangunan dan yang paling popular, ‘membodohkan rakyat’.

“Begitu mudah kaedah pemikiran liberal apabila fakta-fakta yang menyanggah mereka diketepikan begitu sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menempelak dakwaan kononnya URA adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangunkan bandar secara teratur dan memberikan keselesaan kepada rakyat.

“Namun, hakikatnya ia membolehkan kerajaan dan pemaju mengambil tanah dan rumah rakyat walaupun pemilik asal tidak bersetuju sepenuhnya. Persetujuan 75 peratus pemilik unit dalam sesebuah bangunan sudah mencukupi untuk membolehkan pengambilan tanah berlaku.

“Apa terjadi kepada 25 peratus yang tidak bersetuju? Dipaksa mengalah. Persoalannya, sejak bila prinsip demokrasi membenarkan suara majoriti menindas hak minoriti?

“Sejak bila kerajaan boleh memaksa pemilik melepaskan rumah mereka tanpa persetujuan mutlak? Oh, tapi jangan risau, semuanya atas nama ‘kemajuan’. Siapa sebenarnya yang mengaut keuntungan?” soalnya.

Tambah beliau, PAS sama sekali tidak menentang pembangunan, sebaliknya menentang penindasan yang bertopengkan pembangunan.

“Jika pembangunan itu benar-benar telus dan adil, mengapa perlu ada klausa yang membolehkan pemilik dipaksa keluar dari rumah mereka tanpa persetujuan penuh?

“Mengapa perlu akta baru sedangkan undang-undang tanah sedia ada sudah cukup untuk melindungi hak pemilik asal? Realitinya, PAS tidak ‘membodohkan’ sesiapa.

“PAS menuntut supaya pembangunan berlaku tanpa merugikan hak rakyat, tanpa menggadaikan tanah-tanah milik mereka kepada pemaju besar yang hanya berminat menukar kawasan kos rendah menjadi kondominium mewah yang tidak mampu dimiliki oleh penduduk asal,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2025

- Advertisement -