
KUALA LUMPUR: Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mempersoalkan kemampuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membayar dividen kepada pencarum tanpa menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Adakah KWSP masih boleh membayar dividen kepada pencarum sekiranya mereka tidak menjual saham MAHB sebab naratif yang dimainkan ialah KWSP jual MAHB sebab nak bayar dividen.
“Apakah jumlah lebihan keuntungan KWSP selepas membayar dividen pada tahun tersebut adalah lebih besar daripada hasil daripada jualan saham MAHB?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Kewangan 2, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP hanya boleh membayar dividen daripada keuntungan yang direalisasikan dalam tahun berkenaan.
“Jadi, penjualan saham MAHB mengambil kira kenaikan harga saham tersebut yang meningkat sebanyak 11.47 peratus pada tahun 2023, melebihi prestasi KLCI,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











