
KUALA LUMPUR: Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) membangkitkan persoalan mengenai keutamaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian tidak diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, jumlah graduan TVET pertanian masih rendah iaitu hanya 600 orang setahun, sedangkan sektor itu amat penting bagi keterjaminan makanan negara.
“Kita dimaklumkan bahawa 80 peratus graduan lepasan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) yang berlandaskan TVET memperolehi pekerjaan dan mendapat pendapatan daripada program tersebut.
“Tapi saya lihat pada hari ini, kerajaan memberi tumpuan kepada TVET peringkat tertinggi, jadi dalam konteks keterjaminan makanan negara yang ketika ini hanya melahirkan enam ratus graduan dalam bidang pertanian setahun.
“Apakah hala tuju dan perancangan kerajaan untuk memperkasakan TVET pertanian serta adakah perancangan TVET pertanian terdapat dalam badan penarafan tunggal TVET yang telah diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Majlis TVET Negara yang berada di bawah tanggungjawabnya akan meneliti keperluan untuk memperkukuh tenaga kerja dalam sektor pertanian, termasuk juruteknik dan jurutera pertanian.
“Insya-Allah, saya akan memberikan tumpuan kepada mereka supaya terdapat keseimbangan antara TVET berasaskan pertanian dan bukan pertanian serta memperkasakan situasi ini dan memastikan juruteknik serta jurutera pertanian turut disantuni serta diberikan keutamaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











