
SHAH ALAM: PAS dan Perikatan Nasional (PN) Selangor akan terus memastikan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 menjadi medan terbaik memperjuangkan suara dan nasib rakyat.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, juga kesediaan Ahli-ahli Dewan daripada PAS dan PN menjadi pembangkang yang konstruktif demi perubahan lebih baik untuk rakyat Selangor.
Pihaknya turut menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan kepentingan pentadbiran negeri yang bersih, cekap dan mendahulukan rakyat.
“PAS tegas berpendirian bahawa sebagai negeri yang berpotensi tinggi, isu bencana banjir, pungutan dan pelupusan sampah serta masalah kemudahan perkhidmatan kesihatan tidak seharusnya dialami oleh rakyat di negeri Selangor kerana Selangor deserves better!
“Justeru, PAS dan Perikatan Nasional Selangor akan berperanan sebagai kumpulan semak dan imbang bagi kerajaan negeri Selangor ini melalui perbahasan, persoalan dan segenap ruang yang ada sepanjang persidangan kali ini.
“Kami akan pastikan kerajaan negeri tidak akan lena dibuai kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor telah bermula pada 18 Februari lalu dan dijadualkan akan berlangsung sehingga 28 Februari depan.
Sultan Sharafuddin ketika Istiadat Pembukaan bertitah agar setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberikan fokus kepada perkara penting berhubung masa hadapan negeri dan rakyat.
“Sidang DUN Selangor harus berlangsung dengan penuh berhemah dan bukannya menjadi medan untuk menabur fitnah, caci-mencaci dan berperangai tidak senonoh.
“Rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah-laku wakil rakyat yang mereka pilih. Beta mengucapkan selamat bersidang kepada semua Ahli DUN Selangor,” titahnya. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











