
KUALA LUMPUR: Pegawai imigresen yang ditahan kerana memiliki 12 pasport asing secara mencurigakan masih belum dikenakan tindakan tegas, meskipun sudah dipindahkan ke Depot ImigresenKLIA.
Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mempersoalkan keberkesanan tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit, yang dikatakan masih tidak hadir bekerja sehingga kini.
“Bagaimanakah ia boleh memanipulasi rekod imigresen dan bagaimanakah pihak kementerian boleh membendung masalah ini kerana saya difahamkan pegawai kerajaan terbabit tidak takut kerana dikenakan hukuman hanya dengan tindakan tatatertib. Apakah solusi dengan perkara tersebut?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, lebih membimbangkan sindiket itu masih aktif, yang mana pegawai terbabit dipercayai mampu menguruskan sehingga 30 pasport dalam satu penerbangan dan memperoleh keuntungan RM14,000 dalam masa 10 hari.
“Adakah terdapat garis masa spesifik bagi tindakan lebih agresif untuk menjejaki sama ada sindiket yang pasport ini ataupun dengan kad pengenalan palsu tadi sebab pegawai yang dikatakan telah dikenakan tindakan masih lagi menjalankan aktiviti passport fly. Jadi ini adalah satu perkara yang sangat merisaukan kita,” katanya.
Menjawab isu itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pegawai yang menyalahgunakan kuasa dalam pengurusan dokumen penting negara.
“Kita mempunyai tatacara, tatakelola dan juga peraturan-peraturan yang ketat. Mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan tetap akan diambil tindakan berasaskan kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan telah dijalankan secara bersepadu bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – HARAKAHDAILY 20/2/2025











