
KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) menekankan kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tenaga boleh diperbaharui serta kesiapsiagaan tenaga kerja dalam peralihan kepada sumber tenaga hijau menjelang 2035.
Beliau berkata, langkah kerajaan dalam memperkukuhkan R&D tenaga boleh diperbaharui adalah penting untuk memastikan Malaysia dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
“Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memperkukuhkan R&D tenaga boleh diperbaharui dan sejauh mana kerajaan boleh memastikan tenaga kerja bersedia untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035?
“Selain itu, apakah insentif yang diberi oleh kerajaan untuk kepada golongan B40 untuk membolehkan mereka menggunakan sistem pemasangan solar di rumah mereka disebabkan kos pemasangan terlalu tinggi hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata kerajaan tidak menyediakan subsidi bagi pemasangan panel solar di kediaman golongan B40 kerana penggunaan tenaga mereka mungkin kurang.
“Jadi tidak berbaloi untuk mereka memasang solar di bumbung, tetapi apa yang kita beri ialah rebat kepada B40 supaya mereka dapat rebat ini, maka mengurangkan bil bayaran mereka. Itu pendekatan kerajaan,” katanya.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan langkah strategik yang telah diambil oleh kementerian bagi merealisasikan sasaran mencapai 40 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035 dan komitmen kerajaan pusat bagi menyokong aspirasi kerajaan Sarawak dalam mencapai matlamat menjadi hab tenaga boleh diperbaharui utama di Asia Tenggara. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











