
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk mempertimbangkan pelaksanaan e-invois secara sukarela bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) untuk mengurangkan beban yang dihadapi golongan itu.
Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata, tempoh peralihan dan julat ambang pengecualian yang diberikan masih belum mencukupi kerana PMKS terus menanggung beban tinggi akibat pelaksanaan sistem e-invois.
“Adakah kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan invois secara sukarela bagi memberi lebih fleksibiliti kepada PMKS agar mereka tidak terjerat dalam dilema pematuhan?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan bantuan kewangan bagi membantu PMKS mendapatkan kelengkapan yang diperlukan serta menampung sebahagian kos latihan.
Selain itu, beliau turut bertanya sama ada terdapat perbezaan kaedah pelaksanaan e-invois bagi perniagaan yang beroperasi secara fizikal, dalam talian, atau secara hibrid.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan telah memberi kelonggaran kepada PMKS dengan menetapkan ambang antara RM150,000 hingga RM300,000, di mana mereka hanya perlu memulakan pelaksanaan e-invois pada Januari 2026.
“Buat permulaan, mereka boleh menggunakan invois secara terkumpul (consolidated) selama enam bulan. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga sentiasa mencari cara untuk mempermudah proses, termasuk melalui aplikasi mudah alih,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











