Naik taraf sistem ramalan cuaca elak petani rugi

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Petani perlu mendapat manfaat daripada sistem ramalan cuaca yang lebih tepat bagi membantu mereka merancang aktiviti pertanian dan mengurangkan risiko kerugian akibat perubahan iklim yang semakin tidak menentu.

- Advertisement -

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, kerajaan perlu membuat sistem ramalan cuaca yang boleh diakses dengan mudah oleh petani, terutama mereka yang berada di kawasan terpencil dan kurang akses kepada teknologi digital.

“Sebanyak 40,828 hektar kawasan pertanian musnah akibat banjir, manakala 9,330 hektar lagi terjejas kerana kemarau yang mengakibatkan negara mengalami kerugian RM128.8 juta akibat banjir dan RM21.6 juta akibat kemarau berdasarkan data antara 2017 hingga 2021.

“Sejauh mana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) boleh merintis penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam model iklim dan ramalan cuaca konvensional seperti analisa dan tinjauan kelembapan tanah serta perubahan cuaca yang mendatangkan kesan langsung kepada sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam jawapannya berkata kerajaan sedang menaik taraf sistem pengkomputeran bagi MetMalaysia untuk meningkatkan ketepatan ramalan cuaca supaya ramalan yang dibuat lebih tepat dan panjang.

“Ketika ini, ketepatan ramalan cuaca yang betul-betul tinggi hanya sekitar tujuh hari. Kita mahu memperluaskannya. Oleh itu, antara elemen yang dilihat sememangnya tepat ialah elemen teknologi terbaharu termasuklah AI dan sebagainya,” katanya.

Dalam soalan asal, Tuan Ibrahim meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan adakah kementerian bercadang untuk mengintegrasikan sistem ramalan cuaca dengan takwim tanaman dan tuaian bagi membantu petani merancang aktiviti pertanian berdasarkan data cuaca. – HARAKAHDAILY 20/2/2025

- Advertisement -