Kaji semula URA, elak gentrifikasi dan tindas golongan miskin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu dikaji semula bagi memastikan ia tidak memberi kesan negatif kepada penduduk bandar, khususnya golongan berpendapatan rendah. 

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, pelaksanaan URA boleh menyebabkan gentrifikasi, iaitu pengusiran secara halus terhadap golongan miskin dari bandar.

“Isu ini berpotensi akan berlaku pengusiran secara halus kalangan mereka yang miskin daripada bandar dan memungkin wujud satu kerjasama pihak berkuasa tempatan dengan para pemaju kapatalis yang akan menekan mereka yang tidak berdaya keluar daripada kawasan bandar,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini. (Foto atas)

Justeru, beliau dengan tegas menolak dakwaan oleh Ahli Parlimen Kepong yang menyatakan itu adalah agenda PAS memperbodohkan rakyat.

Menurutnya, bantahan yang disuarakan tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan kepentingan rakyat.

“Saya ingin maklumkan bahawa perhimpunan semalam bukan disertai oleh satu atau dua NGO, tetapi oleh 31 NGO. Penanda tangan pengerusi-pengerusi NGO ini terdiri daripada individu terhormat dalam kalangan masyarakat Melayu, termasuk badan-badan profesional. 

“Adakah suara mereka begitu sahaja mahu diketepikan? Rakyat sudah tidak tahu kepada siapa lagi mereka harus mengadu, sehingga terpaksa membawa isu ini terus kepada wakil rakyat. 

“Situasi ini amat menyinggung perasaan rakyat yang hanya ingin menyuarakan kebimbangan terhadap URA yang dilihat masih belum matang dalam pelaksanaannya,” katanya.

Malah, kata beliau, perhimpunan itu juga tidak hanya melibatkan masyarakat Melayu, tetapi juga kaum India dan Cina yang turut hadir bagi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kesan URA. 

“Perhimpunan semalam bukan sahaja di kalangan orang Melayu, ramai kaum India dan saya perasan ada juga kaum Cina,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2025

- Advertisement -