Projek tebatan banjir lambat, kerugian rakyat makin bertambah

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan mengenai kaedah perolehan yang bakal dilaksanakan selain meminta jaminan projek tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu siap mengikut masa ditetapkan.

- Advertisement -

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, sekiranya dilambat-lambatkan, kemungkinan jumlah kerugian yang ditanggung kerajaan semakin meningkat dan kehidupan rakyat terus menderita.

“Dengan lampu hijau ini, apakah kaedah perolehan kerajaan bakal dibuat dan apakah kaedah ini dapat memberi jaminan bawah projek tebatan banjir ini dapat dijalankan dalam masanya.

“Ini kerana jika semakin lambat projek ini dimulakan, maka kerugian rakyat semakin bertambah, apa jaminan diambil sehingga projek ini dapat disiapkan sepenuhnya,” kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam jawapannya berkata, kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengurangkan impak banjir di negeri tersebut.

Beliau berkata bagi Kelantan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok bagi fasa dua masih dalam peringkat prapelaksanaan begitu juga PLSB Sungai Kemaman.

Menurutnya Surat Setuju Terima (SST) akan diserahkan pada Julai bagi PLSB Sungai Golok dan Jun PLSB Sungai Kemaman, sementara tender dibuat tender terbuka pra kelayakan terpilih.

Dr. Alias dalam soalan asal meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan perincian tindakan Kementerian berhubung gesaan YAB Perdana Menteri supaya projek berkaitan tebatan banjir disegerakan dan berapa kos terkini yang perlu ditanggung oleh Kerajaan memandangkan proses kelulusan projek ini pernah dibatalkan pada akhir tahun 2022 yang lalu. – HARAKAHDAILY 20/2/2025

- Advertisement -