
KUALA LUMPUR: Bagaimana ketelusan kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga beras tempatan yang semakin membebankan rakyat.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata, walaupun kerajaan menjanjikan jaminan bekalan beras, realitinya rakyat masih berdepan kesukaran mendapatkan beras tempatan pada harga yang berpatutan.
“Saya dan Datuk Seri Ronald Kiandee pergi ke satu pasar raya di Setapak, kita tengok tidak ada pun beras tempatan. Yang dijual hanyalah beras import.
“Harga jualan RM48 untuk 10 kilo. Tetapi mereka boleh beri diskaun sehingga RM33, maknanya ada benda yang samar-samar,” katanya dalam sidang media Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di lobi Parlimen, hari ini.
Hamzah turut membangkitkan persoalan mengenai keberadaan stok beras tempatan, dengan merujuk kepada jumlah pengeluaran dan jumlah yang dijamin oleh kerajaan.
“Kita ada 1.6 juta metrik tan beras tempatan, tapi kerajaan hanya jamin 240,000 metrik tan untuk enam bulan. Mana pergi baki 1.2 juta tan lagi? Siapa yang keluarkannya? Siapa yang sorok?” soalnya.
Beliau mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang dipercayai menyorok bekalan beras, termasuk menggunakan Akta Kawalan Bekalan bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan harga tinggi.
“Sebab itu kita cakap ini bukan bercakap tanpa fakta. Kita bercakap kerana ada faktanya,” tegasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa struktur kos pengeluaran padi perlu dikaji semula, terutama melibatkan harga diesel dan input pertanian yang meningkat secara mendadak.
“Ini isu struktur. Dari membajak tanah, membaja, menanam hingga menuai, semuanya guna diesel. Bila harga diesel naik, sudah tentu kos pesawah meningkat dan akhirnya rakyat yang menanggung akibatnya,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut menggesa kerajaan supaya lebih telus dalam pengagihan subsidi beras dan memastikan ia benar-benar sampai kepada golongan sasaran. – HARAKAHDAILY 20/2/2025











