
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mendedahkan bahawa berlaku percampuran antara beras tempatan dan beras import yang kemudiannya dijual pada harga lebih tinggi sebagai beras import.
Muhyiddin berkata, beliau menerima maklumat daripada seorang pengusaha pengedar beras terbesar di Malaysia bahawa amalan tersebut sedang berlaku dalam industri beras negara.
“Yang saya terkejut ialah bila beliau menceritakan bahawa dalam industri beras sekarang ini, beras tempatan telah dicampur dengan beras import, tetapi tetap ditakrifkan sebagai beras import,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, beras tempatan yang sepatutnya lebih murah kini dijual sebagai beras import menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga yang jauh lebih tinggi.
“Beras import bagaimana yang disebutkan tadi diletakkan harga yang jauh lebih tinggi daripada beras tempatan. Beras tempatan ialah RM26 untuk 10 kilogram (kg), beras import ialah RM40 ke RM41 untuk satu kampit untuk 10 kg.
“Jadi ini satu amalan bukan sahaja tidak sihat, tapi amalan penipuan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang dengan menyatakan bahawa Akta Perihal Dagangan sepatutnya boleh digunakan untuk memastikan ketelusan dalam penjualan beras dan mengelakkan manipulasi harga.
“Menteri tadi menyebutkan bahawa dia tidak boleh diselesai dengan undang-undang yang sedia ada, pasal undang-undang itu agak terbatas. Sebenarnya ada banyak undang-undang lain.
“Saya ingat waktu saya jadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dulu, Yang Berhormat Bera pun juga di situ, kita ada Akta Perihal Dagangan.
“Kalau nak berniaga sesuatu barang mesti disahkan barang itu barang apa sama ada import, campur dan barang tempatan,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk menyiasat dakwaan itu dan memastikan bekalan beras tempatan tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan berbilion ringgit.
“Saya cadangkan kerajaan menyediakan satu Kertas Putih bagi industri padi dan beras negara supaya masalah ini dapat ditangani secara menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025











