Naik ke RM1,500 juga tidak banyak bantu pesawah

Isu kehilangan beras tempatan dan kebajikan pesawah kekal tidak terjawab

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengumuman kenaikan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan dijangka tidak memberikan kesan besar kepada industri padi dan pesawah, memandangkan harga pasaran semasa sudah melebihi paras tersebut.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berdasarkan trend pasaran sebelum ini, harga belian padi di kilang-kilang sudah berada dalam lingkungan RM1,550 hingga RM2,000 per tan, bergantung kepada negeri.

“Ketika harga lantai padi RM1,300 per tan pada musim lepas, rata-rata kilang padi sudah membeli padi dengan harga melebihi RM1,500 per tan. Bagi musim kedua tahun 2024 purata harga padi di kilang-kilang padi Terengganu ialah RM1,550 per tan. Di beberapa negeri lain, harga belian padi sudah mencecah antara RM1,800 RM2,000 per tan.

“Berdasarkan senario trend pembelian padi dan pasaran beras sebelum ini, saya boleh menjangkakan pengumuman harga lantai padi RM1,500 per tan tidak akan banyak memberikan impak kepada pemain industri ini terutama pesawah kerana faktanya padi sudah dibeli melebihi paras harga lantai ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mengumumkan peruntukan subsidi RM150 juta bagi tempoh enam bulan untuk mengekalkan harga beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram.

Bagaimanapun, dua isu utama masih belum terjawab, iaitu kehilangan beras putih tempatan dari pasaran dan kebajikan petani.

“Kita tengok dalam tempoh 6 bulan ini, apakah kesan pengumuman ini kepada perjalanan sektor padi dan beras negara walaupun dua isu utama yang menjadi dilema rakyat belum terjawab dalam penjelasan tadi,” katanya mengikuti penjelasan dari Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Parlimen tengah hari tadi.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mempersoalkan siapakah yang memainkan peranan sehingga beras tempatan hampir lenyap terus dari pasaran.

“Walau siapapun mereka, faktanya ialah, pihak industri yang menukar beras tempatan menjadi beras super import telah meraih keuntungan yang sangat lumayan atas beban yang dipikul oleh rakyat dan pengguna.

“Sekarang diumumkan kerajaan telah menyediakan subsidi RM150 juta dalam tempoh 6 bulan demi untuk mengekalkan harga beras tempatan RM2.60 tanpa berlaku sebarang kenaikan. Kepada siapakah subsidi ini akan dibayar. Tentu sekali bukan kepada pesawah.

“Saya faham, mereka yang akan dapat manfaat dari RM150 juta ini ialah pihak industri yang sebelum ini telah mengaut keuntungan dari manipulasi beras tempatan kepada beras import. Sebelum ini mereka telah untung besar dan sekarang mereka juga bakal untung besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025

- Advertisement -