
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membahaskan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil Semenanjung Gaza.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, tindakan itu penting bagi Malaysia untuk menghantar isyarat lebih tegas terhadap cadangan Trump yang akan memberi kesan buruk terhadap masa depan Palestin dan rakyatnya.
Katanya, Parlimen boleh digunakan sebagai ‘lidah’ separuh rasmi dari segi pendirian kerajaan, mewakili rakyat negara ini untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan ‘gila’ Trump.
“Kalau dilihat bantahan dibuat negara Islam suam-suam kuku, ini menyebabkan Trump lebih berani teruskan agenda mereka,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan, bantahan berterusan dan konsisten diperlukan termasuk mengadakan demontrasi bagi menyampaikan mesej tegas kepada Trump.
Sementara itu, beliau menzahirkan kekecewaan ekoran notis usul yang dikemuka beliau bagi mengadakan sidang tergempar Parlimen sudah ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Ini adalah kali kelima notis usul berkaitan isu Gaza dan Palestin yang saya kemukakan kepada speaker sejak tahun lalu, namun masih ditolak.
“Kalau dikatakan isu ini sudah dijawab Menteri Luar minggu lalu, bagi saya ia tidak memadai, amat lemah dan tidak membantu langsung mengangkat perjuangan Palestin yang kerajaan Malaysia konsisten pertahankannya termasuk oleh Perdana Menteri selama ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2025











