Pertahan Islam: ‘Saya ingin dapat jawapan daripada kerajaan’

Dr. Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan keagamaan terus menjadi perhatian apabila sebuah buku ‘Becoming Hannah’ menerima bantahan meluas di seluruh negara.

- Advertisement -

Sehingga Disember 2024, sebanyak 182 laporan polis telah dibuat bagi membantah kandungan buku tersebut, yang didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa doktrin atau kepercayaan agama lain tidak boleh dikembangkan kepada orang Islam, sebagaimana termaktub dalam Perkara 11(4). 

“Mutakhir ini terdapat segelintir pihak yang suka mencetuskan kontroversi dalam masyarakat terutamanya membangkitkan isu-isu yang menyentuh soal agama.

“Ada pihak yang secara terbuka menggelar dirinya sebagai ‘duta Tuhan’ dan menyebut seruan Tuhan untuk mengambil semula politik dan perkhidmatan awam untuk Tuhan.

“Ini menimbulkan masalah besar kerana ia seolah-olah menunjukkan usaha terancang untuk membawa pengaruh agama lain ke dalam sistem pentadbiran negara. Usaha tersebut boleh dianggap sebagai satu cubaan mencabar kedudukan Islam dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat juga usaha pihak tertentu yang cuba mencabar kedudukan Islam dalam pentadbiran negara, termasuk mempertikaikan garis panduan penyertaan umat Islam dalam acara keagamaan dan kebudayaan agama lain. 

“Terdapat juga kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam seperti larangan penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga boleh menyebut yang tak boleh minum arak jangan beli, tapi kita tak boleh larang orang yang boleh minum arak untuk beli.

“Tiada keperluan sijil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM di restoran makanan orang bukan Islam yang menjadi tumpuan pengunjung orang Islam.

“Mereka berani bersuara, berani membantah dan berani mengecam apa-apa cadangan oleh Menteri Hal Ehwal Agama dalam soal garis panduan orang Islam menyertai acara keagamaan dan kebudayaan orang bukan Islam dan sebagainya,” katanya.

Abd Ghani turut menzahirkan kebimbangan terhadap gerakan kristianisasi di Malaysia, yang telah lama didedahkan dalam beberapa kajian dan laporan rasmi oleh pihak berkuasa agama. 

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyatakan jaminan untuk terus mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan memastikan tidak ada ruang yang boleh membawa kepada peningkatan kes pemurtadan. 

“Saya ingin mendapat jawapan daripada kerajaan Madani. Pertama, apakah jaminan kerajaan bahawa Islam akan terus dijaga dan dipertahankan dalam pentadbiran negara.

“Kedua, apakah kerajaan sedar bahawa kenyataan pemimpinnya boleh membuka ruang kepada lebih banyak kes pemurtadan.

“Oleh itu, saya memohon langkah segera kerajaan madani perlu komitmen mereka dalam mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -