Tiada pengalaman automotif dilantik periksa kenderaan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff mempersoalkan pelantikan tiga syarikat baharu sebagai pengendali pemeriksaan kenderaan bermotor seperti diumumkan Kementerian Pengangkutan, baru-baru ini.

- Advertisement -

Jelas beliau, ia susulan terdapat syarikat yang hanya baru beberapa bulan ditubuhkan, selain syarikat terlibat juga dikatakan tiada pengalaman di dalam bidang dan pengendalian automotif.

“Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) kata syarikat ni dipilih berdasarkan beberapa kriteria penting, termasuk kedudukan kewangan yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM10 juta, berstatus sendirian berhad dan mempunyai pemilikan tempatan.

“Wawasan Bintang Sdn Bhd; syarikat ini ditubuhkan pada 13 Jun 2024, tak sampai lapan bulan pun tubuh. Kemudian pada 24 Mac 2023 Anthony Loke ada umumkan proses pelawaan kepada pihak yang berminat.

“Iaitu dalam menyediakan perkhidmatan akan dibuka selewat-lewatnya suku pertama 2024. Macam mana syarikat yang ditubuhkan pada suku kedua 2024 boleh sertai proses pelawaan yang dibuat pada suku pertama 2024? Hebatkan Kerajaan Madani buat silap mata?

“Satu lagi Anthony Loke kata syarikat yang dipilih ada kewangan yang kukuh. Syarikat baru lapan bulan mana ada ‘submit financial statement’ dan ‘audit report’. Macam mana Anthony Loke nilai kewangan yang kukuh?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, syarikat Pakatan Petroleum Sdn Bhd yang turut dilantik mengendalikan perkhidmatan berkenaan hanya terlibat dalam perniagaan perdagangan petroleum, gas dan yang berkaitan, juga didapati tiada pengalaman dalam bidang automotif.

Selain beritahunya, syarikat Beriman Gold Sdn Bhd yang mempunyai ‘nature of business’ di luar bidang automotif iaitu pembinaan, telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT).

“Bagaimana kementerian boleh melantik syarikat baru, syarikat tiada pengalaman berkaitan untuk menjalankan proses pemeriksaan kenderaan yang bakal melibatkan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya?

“Bagaimana syarikat baru lapan bulan diberikan tiga lokasi berbanding syarikat lain yang masing-masing diberikan dua lokasi? Oleh yang demikian, eloklah Anthony Loke perjelaskan kekeliruan yang timbul dari pengumuman dia,” katanya.

Loke baru-baru ini memaklumkan syarikat Wawasan Bintang Sdn Bhd akan berada di Pelabuhan Klang, Selangor; Gua Musang, Kelantan dan Mersing, Johor.

Sementara itu Pakatan Petroleum Sdn Bhd berada di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang manakala Beriman Gold Sdn Bhd di Kuching dan Serian, Sarawak. – HARAKAHDAILY 11/2/2025

- Advertisement -