
KUALA TERENGGANU: Mufti Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron berpandangan cadangan garis panduan baharu sedang dibincangkan bukan sahaja penting untuk menjaga umat Islam, tetapi juga kepada masyarakat bukan-Islam dalam memastikan keharmonian bersama.
Menurut beliau, garis panduan itu dibuat bertujuan untuk memupuk rasa hormat-menghormati antara semua pihak serta mengelakkan sebarang ketegangan yang mungkin timbul akibat salah faham dalam isu berkaitan agama.
“Ia wajar (diadakan) untuk (saling) menghormati maknanya semua pihak akan lebih menjaga menghormati keperluan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Mewah ‘Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands’, di Wisma Darul Iman, semalam.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mencadangkan garis panduan baharu menetapkan beberapa perkara termasuk penganjur perlu mendapatkan kebenaran pihak berautoriti dan mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam, jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam.
Cadangan itu bertujuan untuk memastikan umat Islam memahami batas dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan akidah mereka.
Mond Na’im juga berkata garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di Malaysia.
Sabri berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam muzakarah yang dijadualkan berlangsung bulan ini di Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.
“Jadi bagi saya perkara itu elok, tapi ia akan dibawa dalam muzakarah dan kita pun tak pasti macam mana, kita akan tengok dulu sebab ia melalui proses, lepas daripada muzakarah ini akan dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan, jadi kita tunggu resolusilah,” ujarnya.
Menurut beliau, perbincangan secara menyeluruh amat penting supaya garis panduan ini dapat diterima oleh semua pihak.
“Sebenarnya bila masing-masing pihak faham insya-Allah semuanya akan perkenan perkara itu sebab ia untuk kebaikan semua pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/2/2025











