Dikhuatiri jejas ekosistem tenaga pekerja asing

Cadangan potongan KWSP

- Advertisement -

GOMBAK: Cadangan kerajaan untuk mewajibkan pekerja asing mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dikaji dengan lebih mendalam bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan ekosistem tenaga kerja negara.

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Khidmat Gombak, Mohd Iqman Iberahim berkata, walaupun langkah itu bertujuan meningkatkan dana KWSP dan mengurangkan aliran wang keluar, kesan terhadap ekonomi serta daya saing Malaysia sebagai destinasi pekerjaan perlu diambil kira.

“Antara kesan negatif yang boleh timbul daripada dasar ini adalah penurunan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pekerjaan bagi pekerja asing.

“Sekiranya mereka menganggap potongan KWSP sebagai satu beban kewangan, mereka mungkin memilih untuk bekerja di negara lain yang menawarkan gaji bersih lebih tinggi tanpa potongan sebegini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.

Selain itu katanya, dasar itu juga boleh memberi tekanan kepada majikan kerana jika mereka diwajibkan untuk mencarum bagi pekerja asing seperti mana pekerja tempatan, kos operasi syarikat akan meningkat.

Beliau berkata, hal demikian berkemungkinan menyebabkan harga barang dan perkhidmatan melonjak, yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna.

“Lebih membimbangkan, ada kemungkinan peningkatan dalam pengambilan pekerja tanpa dokumen. Sesetengah majikan mungkin mencari jalan untuk mengelak daripada membayar caruman dengan menggaji pekerja secara tidak rasmi.

“Sekali gus membuka ruang kepada eksploitasi buruh dan menjejaskan kawalan terhadap tenaga kerja asing di Malaysia.

“Seterusnya, pekerja asing yang mencarum dalam KWSP juga mungkin menghadapi kesukaran dalam proses pengeluaran wang mereka apabila pulang ke negara asal, terutama jika terdapat prosedur yang rumit atau batasan birokrasi,” katanya.

Justeru, Iqman berharap agar pelaksanaan dasar itu perlu diteliti dengan lebih mendalam bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak.

Tambah beliau, kajian yang menyeluruh serta rundingan dengan pihak berkepentingan seperti majikan, pekerja asing dan pakar ekonomi perlu dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan cadangan ini buat masa sekarang kerana ia tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan boleh membawa kesan lebih besar kepada ekosistem tenaga kerja negara.

“Mungkin pada masa akan datang, sekiranya terdapat mekanisme yang lebih adil dan seimbang, cadangan ini boleh dipertimbangkan semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2025

- Advertisement -