Sudah sedia jadi negara tua menjelang 2043?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan ditanya mengenai kesediaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi melaksanakan konsep inovatif termasuk ‘time bank’ di negara ini.

- Advertisement -

Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata inisiatif tersebut dibuat sebagai persediaan terhadap agenda Malaysia menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2043.

Beliau berkata, nisbah pekerja sosial penjagaan dengan populasi penduduk di negara ini masih rendah sekiranya dibandingkan dengan jumlah tersebut di negara jiran, rantau Asia Tenggara.

“Soalan saya sejauh manakah ketersediaan Malaysia untuk menerokai konsep sebagai dibuat dalam ‘time banking’ dalam perkukuhkan sektor penjagaan seperti mana dibuat di negara Switzerland.

“Jadi seseorang individu diberi deposit masa dengan pergi khidmat sebagai sukarelawan menjaga warga emas dan akhirnya nanti dia boleh terima kredit berdasarkan masa yang diperuntukkan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini, Menteri KPWKM, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menyambut baik cadangan tersebut.

Beliau berkata, penjagaan warga emas, kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit terlantar menjadi fokus utama KPWKM di samping mempunyai hala tuju jelas pelaksanaan industri terbabit.

Malah katanya lagi, pihaknya turut memberi penekanan terhadap latihan dan kursus penjagaan meskipun pada masa ini tidak sebarang peruntukkan undang-undang mewajibkan pemilikan sijil profesion itu.

“Memang itulah arah tuju kita sebab kita tidak mahu hanya memberi kursus kepada mereka hanya menjaga orang tua sahaja tetapi memang ada cadangan kita adalah apa yang kita nak lakukan persediaan ini.

“Tetapi perancangan kita bukan hanya setakat ini sahaja, memang kita nk meluaskan kemahiran ‘care giver’ termasuk kanak-kanak, orang tua semuanya,” katanya merangkap Ahli Parlimen Santubong. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -