Kaji keperluan kukuh tatakelola industri beras

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mempersoalkan usaha kerajaan dalam mengawal harga padi dan beras serta menumpaskan kartel yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya hingga memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.

- Advertisement -

“Baru-baru ini ada satu kertas siasatan telah dibuka berkenaan dengan beberapa persatuan yang mengamalkan kartel. Sebenarnya mereka mereka ini mengumumkan kenaikan harga perkhidmatan dan juga barangan sewenang-wenang yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.

“Soalan saya apakah status siasatan dan cadangan untuk menambah baik kawal selia perjanjian berkenaan dengan persaingan dan memastikan supaya tindakan penguatkuasaan tegas terhadap persatuan ini.

“Saya juga ingin tahu cara untuk kita atasi kartel ini supaya industri padi dan beras kita bebas daripada amalan kartel seterusnya melindungi kepentingan pesawah dan pengguna lain di negara ini,” soalnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam jawapannya memberitahu komponen terkandung dalam Akta 712 adalah usaha bagi menangani isu kartel dalam empat bentuk.

“Dua kes yang sedang kita siasat di peringkat akhir ini adalah tindakan persatuan-persatuan tertentu yang membuat pakatan dalam penentuan harga dan Insya-Allah siasatan masih berlangsung.

“Ini antara perkara yang kita fokus untuk mengekang persatuan-persatuan dan pihak-pihak tertentu bergabung untuk menetapkan harga yang boleh menjejaskan tuntutan persaingan di pasaran tersebut.

“Di bawah Seksyen 16 G Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah melaksanakan satu kajian berkaitan dengan industri beras dan padi dan kajian tersebut telah pun siap dan dibentang kepada Kementerian Pertanian.

“Salah satu syor yang terkandung dalam kajian itu adalah keperluan untuk kementerian melihat bagaimana kita dapat memperkukuhkan tatakelola dalam industri beras dan padi serta pemegang konsesi kepada beras import,” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan William Leong Jee Kee (PH-Selayang) yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan dalam menilai keberkesanan MyCC dalam menguatkuasakan akta Persaingan 2010.

Beliau diminta menyatakan jumlah siasatan yang telah membawa kepada pendakwaan dan sabitan kesalahan yang berjaya bagi garis masa 2014-2024. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -