
Perkara ini kelihatan semakin menjadi-jadi, sejak kaduk dibenarkan naik junjung, hati dan perasaan kita umat Melayu Islam semakin hari semakin tertekan serta lemas meronta-ronta, tidak tenteram dan tiada selesa. Sampai bilakah kita mahu biarkan ia begini?
Islam adalah agama Persekutuan, ianya muktamad. Islam adalah anutan majoriti rakyat dalam negara, ianya realiti. Perlembagaan Persekutuan malah meletakkan orang Melayu itu sebagai Muslim. Sepanjang lebih 6 dekad kita Merdeka, tiada mana-mana pihak yang berani sebelum ini menyentuh isu atau kepentingan melibatkan agama ini serta penganutnya apatah lagi mencabar dan mempertikaikannya.
Tetapi itulah kuasa politik penentu segala-galanya. Walaupun umat Melayu ini majoriti dan ramai bilangannya dalam negara tetapi apabila mereka berpecah-pecah dan enggan bersatu, golongan minoriti yang walau kecil tetapi kukuh bersatu boleh mengambil kesempatan dan menjadi berkuasa apabila ia mampu memegang tunggak kekuasaan melalui operasi demokrasi berparlimen. (Awas ada pihak yang memang mahu kita berpecah)
Terbaru cadangan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan dan Penganjuran Majlis di Rumah Ibadat Selain Islam yang dikeluarkan JPM (Hal Ehwal Agama) dipertikaikan secara terbuka oleh DAP dan beberapa pihak lain. Paling melampau seorang bekas AJK Pusat DAP menggesa agar menteri berkenaan ditukar.
Kata Ronnie Liu: “Pada saya, menteri ini gagal lagi memahami sifat, realiti dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum seperti kita.Mungkin sudah tiba masanya untuk menghantarnya kembali ke tempat asal sebelum dia mencetuskan lebih banyak kekacauan sosial. Dia adalah contoh klasik seseorang dinaikkan ke jawatan di luar kemampuannya sendiri,”
Sedangkan menurut menteri berkenaan: “Garis panduan yang sedang dibangunkan ini akan membantu kerajaan dalam usaha mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat tanpa menimbulkan kebimbangan atau salah faham dari perspektif agama Islam. Ia secara langsung memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti tersebut tidak mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara penganut agama,”.
Tidakkah isu ini berkaitan hal ehwal umat Islam dan bagaimana mereka mahu mengamalkan agama mereka? Mengapa pula yang bukan Islam perlu panas dan melenting?
Apakah dalam negara hari ini umat Islam sudah tidak lagi bebas menentukan bagaimana cara mereka mahu membangun dan mengamalkan agama mereka sendiri? Apakah hal ehwal umat Islam boleh dibahas dan dipertikaikan pihak lain sebegini rupa?
Ini bukan kali pertama. Telah banyak yang berlaku sejak kebelakangan ini yang mencabar kesabaran umat Islam. Isu persijilan halal, isu tulisan Jawi, isu memartabatkan Mahkamah Syariah, isu membantu rakyat Palestin, isu pengharaman arak di kawasan majoriti Islam, malah ada yang mempertikai teks khutbah Jumaat.
Dulu semasa BN memegang tampuk kuasa dan kemudiannya sekejap di bawah Tan Sri Muhyiddin dan Dato Sri Ismail Sabri, tiada pula isu-isu sensitif seumpama ini bebas dibahaskan oleh semua pihak, tetapi hari ini ia menjadi semakin berleluasa.
Mengapa? Jawabnya kerana yang dominan dan menjadi tulang belakang pada Kerajaan hari ini bukan lagi Umno tetapi adalah DAP dengan 40 kerusi, yang Pengerusinya, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung, Anthony Loke; Naib Pengerusi, Nga Kor Ming dan Ketua Pemudanya, Woo Kah Leong.
Kenapa dibenarkan perkara yang melibatkan nasib dan kepentingan umat Islam ini dibahas secara terbuka terutama oleh yang bukan Islam? Membuka pintu pagar seperti ini cukup tidak cantik rupanya dan malah membangkitkan keresahan dan kegusaran masyarakat ramai.
Raja-raja Melayu yang merupakan benteng terakhir kekuatan Islam, payung kepada umat Melayu dan rakyat jelata perlu tegas dalam bab ini kerana Institusi Raja-raja Melayu itu sendiri asasnya adalah berpunca pada kekuatan umat Melayu Islam jua. Orang-orang Melayu yang taat setia jangan dikecewakan kerana pantang mereka durhaka pada Raja-rajanya.
Kerajaan dan parti pemerintah datang dan pergi tetapi institusi keramat warisan turun-temurun bangsa Melayu ini insyallah akan kekal selagi teguh bersama syariat dan didukung umat Melayu.
Umat Melayu pula perlu segera bangkit dan insaflah, jangan sampai bumi di pijak tiada lagi menjadi milik kita. Bermuafakat dan menyatupadukan ummah itu adalah perintah Alllah SWT dan wajib kita patuhi dan usahakan. Jangan tolak tangan yang mengajak ke arah penyatuan dan perpaduan ummah.
Allah SWT berfirman maksudnya: “ …. sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (al Haj :40)
Jika bukan kita yang berani bangkit dan pertahankan maruah agama dan bangsa ini, siapakah lagi yang akan berbuat demikian. Buktikan kebenaran kata-kata Laksamana Hang Tuah: “Tak Melayu (termasuklah Raja dan rakyatnya) hilang di dunia”.











