Perkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperjelaskan komitmen dalam memastikan pokok yang ditanam terus kekal hidup, seru Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

- Advertisement -

Beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan kerajaan mencapai sasaran awal penanaman 100 juta pokok dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tetapi beliau turut menekankan kepentingan memastikan pokok-pokok tersebut untuk terus membesar.

“Memang kita nak supaya pokok-pokok yang ditanam ini hidup, masih kekal dan sebagainya. Baru-baru ni saya telah melawat dua tempat. Kebetulan saya tanam dulu. Alhamdulillah ada yang subur besar (lengan), tapi yang besar (ibu jari) pun ada juga takut nanti tak boleh bertahan,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga meminta kerajaan menyatakan pencapaian semasa dalam usaha mengekalkan 50 peratus kawasan berhutan menjelang 2040.

“Saya nak tahu mengenai komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan bagi memastikan sasaran mengekalkan 50 peratus kawasan berhutan di Semenanjung menjelang 2040.

“Yang Berhormat telah jawab di dewan ini tahun 2023 hanya 42.9 peratus. Saya nak tahu yang 2024 berapa?” soalnya.

Selain itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan mekanisme bagi memudahkan kerajaan negeri mendapatkan geran Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli (NCTF) untuk tujuan penyelidikan dan pemuliharaan sumber alam. 

Menjawab soalan tersebut, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan sedang berusaha menyelaraskan definisi hutan bagi memastikan ketepatan data dan pelaporan di peringkat nasional serta antarabangsa.

Menurut beliau, sebelum ini terdapat perbezaan dalam definisi hutan antara Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak.

Namun katanya, menerusi Majlis Biodiversiti Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, proses penyelarasan sedang dijalankan agar Malaysia mempunyai satu definisi yang seragam selaras dengan standard Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

“Itu penting sebab kita kadang-kadang berdepan dengan kritikan, berdepan dengan tuduhan dan sebagainya, kita perlu ada definisi yang jelas,” katanya.

Mengulas mengenai status terkini keluasan kawasan berhutan bagi tahun 2024, beliau berkata, data berkenaan akan disediakan secara bertulis.

Berhubung akses kepada geran NCTF, beliau mengakui bahawa dana tersebut kurang dimanfaatkan.

“Jadi saya ambil maklum dan kita akan cuba tengok bagaimana kita dapat memudahkan akses dan pada masa yang sama kita dapat mengisi semula sumbangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -