
KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai perbezaan pelaksanaan perumahan rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung serta sokongan kepada pembeli rumah pertama menjadi tumpuan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dato’ Sri Dr. Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) membangkitkan beberapa isu utama berkaitan perumahan mampu milik, termasuk saiz rumah, jumlah unit yang boleh dibina, serta usaha kerajaan dalam menyemarakkan industri hartanah negara.
“Saya ingin bertanya, berapakah jumlah usaha yang telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak? Adakah terdapat perbezaan dalam pelaksanaan program perumahan rakyat di sana berbanding Semenanjung, terutama dari segi saiz rumah dan jumlah unit yang boleh dibina dalam satu lot tanah?
“Selain itu, apakah langkah-langkah kerajaan dalam menyokong pembeli rumah pertama serta merancakkan industri hartanah di Malaysia?” soal beliau ketika mengemukakan soalan tambahan.
Menjawab persoalan tersebut, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dari segi keluasan, kos, dan syarat pelaksanaan, tiada perbezaan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Sarawak masih mengekalkan harga RM75,000 dengan keluasan 3,000 kaki persegi, sama seperti di negeri-negeri lain,” katanya.
Sebelum itu, Dato’ Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah-langkah yang diambil kementerian bagi menangani isu perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah di Sarawak, termasuk inisiatif di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan MyHome yang disesuaikan dengan keadaan di negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











