
JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu memahami denyut nadi rakyat dan tidak menambahkan lagi beban yang sudahpun begitu berat dengan kos sara hidup yang tinggi.
Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, kenaikan tarif elektrik yang diumumkan baru-baru ini adalah sangat tidak wajar dan jelas akan membebankan lagi rakyat.
“Rakyat sudahpun berada dalam kesusahan menanggung pelbagai bebanan dan juga dalam keadaan kesempitan daripada segala sudut. Maka dengan kenaikan tarif elektrik ini akan menambahkan lagi beban mereka.
“Sepatutnya kerajaan memahami denyut nadi rakyat dan juga benar-benar membela rakyat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Tambah beliau, rakyat tetap akan terkesan dengan kenaikan tarif tersebut walaupun Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa ia hanya melibatkan sektor industri dan 85 peratus rakyat tidak terkesan.
“Pihak yang akan menanggung daripada kenaikan ini adalah rakyat. Sebab apabila sektor industri dikenakan dengan kenaikan, maka industri akan menaikkan harga barang kerana kos sudah meningkat untuk mengendalikan produk dan sebagainya.
“Akhirnya, rakyat yang akan menanggung kesusahan kerana sudah tentu harga barang akan melambung tinggi. Maka mangsanya ialah rakyat,” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya baru-baru ini mengatakan kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua tahun ini dengan kadar bakal ditetapkan selepas semakan semula.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, semakan perlu dibuat memandangkan kenaikan kadar tarif elektrik perlu berlaku, berpandukan kapasiti dan harga pada tempoh tertentu. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











