Atasi keciciran pendidikan Orang Asli

Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu keciciran pendidikan dalam kalangan Orang Asli terus menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian serius, terutama di peringkat menengah, dengan kadar keciciran mencecah 4.65 peratus pada tahun 2022.

- Advertisement -

Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata, langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan lebih ramai anak Orang Asli dapat meneruskan pendidikan tanpa halangan.

“Jadi sejauh manakah langkah yang dibuat untuk mengatasi masalah ini? Apakah ia juga terbabit ataupun bersangkutan dengan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat asli?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, bagi memperkasakan ekonomi masyarakat Orang Asli, beliau mencadangkan agar satu platform diwujudkan untuk membantu golongan ini memasarkan perkhidmatan dan produk mereka.

“Apakah ada satu platform khusus untuk orang asli memasarkan perkhidmatan dan juga perniagaan menerusi digital?” soalnya.

Kamal juga mengajak orang ramai untuk menyokong industri pelancongan komuniti dengan mengunjungi Jahut Campsite yang baru dibuka di Kampung Terbol, Kuala Krau.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pihaknya menyedari kadar keciciran pendidikan dalam kalangan Orang Asli masih berlaku.

“Memang kita mengakui masih terdapat keciciran pelajar-pelajar Orang Asli dari sudut pendidikan sebanyak 4.9 peratus.

“Kita telah pun mengenal pasti perkara ini dan telah pun mengambil beberapa tindakan dalam memastikan tidak ada keciciran dalam pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Menjawab mengenai platform khusus untuk membantu orang asli, Rubiah berkata, terdapat beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan, termasuk Karnival Usahawan Desa (KUD) yang dijalankan secara fizikal serta program pendigitalan bagi membantu memasarkan produk Orang Asli.

“Kita juga ada program-program pendigitalan kita yang mana barang-barangan produk orang asli ni masuk dalam program Desa Mall, salah satu retail produk-produk luar bandar dan kita pastikan produk-produk orang asli ni dapat dipasarkan. Selain pasaran sendiri melalui platform seperti TikTok, Facebook dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -