Pelaksanaan Diyat jamin keadilan mangsa kemalangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat menegaskan kepentingan pelaksanaan undang-undang Diyat sebagai langkah utama dalam memastikan keadilan bagi mangsa kemalangan maut yang berpunca daripada kecuaian pemandu.

Ketua Unit Keprihatinan Sosialnya, Nurul Amin Hamid menyatakan bahawa konsep Diyat, yang melibatkan pampasan kewangan dari pihak bersalah kepada keluarga mangsa, adalah mekanisme penting untuk menegakkan keadilan sosial.

“Diyat bukan sekadar bentuk pampasan kewangan, tetapi ia juga membawa tanggungjawab dan penyesalan daripada pihak yang bersalah.

“Dalam konteks kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian seperti pemanduan melulu atau memasuki laluan bertentangan, konsep Diyat boleh menjadi pelengkap kepada hukuman sedia ada.

“Ia memastikan bahawa keluarga mangsa mendapat pembelaan sewajarnya, bukan sekadar menunggu proses perundangan yang panjang dan kadang kala tidak memberikan keadilan yang setimpal.

“Selain itu, pelaksanaan Diyat dapat memberi kesedaran kepada pemandu bahawa setiap tindakan mereka di jalan raya mempunyai implikasi besar terhadap nyawa orang lain,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Pendirian tersebut disuarakan Ahli Parlimen Padang Terap itu susulan tragedi kemalangan mengorbankan Aysar Zahran Saiful Alimin, seorang pelajar terbaik dunia dalam bidang perakaunan, yang dilaporkan terlibat dalam insiden tragis baru-baru ini.

Kemalangan tersebut dilaporkan media tempatan berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Alza memasuki laluan bertentangan dan merempuh mangsa, menunjukkan kecuaian pemandu yang mengancam nyawa orang lain.

Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat katanya, mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam menyiasat punca kejadian itu dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dihukum dengan sewajarnya.

“Tragedi ini mengingatkan kita tentang perlunya tindakan lebih ketat dalam menangani kecuaian jalan raya,” jelasnya.

Nurul Amin menambah bahawa pelaksanaan Diyat, yang sudah diamalkan di negara seperti Arab Saudi dan Pakistan, boleh menjadi penyelesaian yang efektif bagi menangani isu kemalangan maut akibat kecuaian pemandu.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan Diyat tidak hanya memberi pembelaan kepada keluarga mangsa, tetapi juga dapat mengurangkan insiden pemanduan cuai di negara ini dengan meningkatkan kesedaran dan akauntabiliti pemandu di jalan raya.

Menurutnya, keperluan untuk langkah-langkah lebih ketat dalam menangani kecuaian di jalan raya semakin jelas, dan Diyat boleh menjadi tambahan yang penting dalam sistem perundangan negara.

Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat jelasnya, mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama, dan tragedi itu seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam mematuhi peraturan jalan raya.

Pihaknya turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian itu, serta mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -
- Advertisement -