
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia perlu menyatakan pendirian yang tegas dan jelas berhubung dasar luar, Amerika Syarikat yang didakwa mahu mengambil alih Gaza sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan ekonominya.
Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendesak kerajaan untuk mengadakan sidang khas bagi membahaskan isu berkenaan secara terperinci.
Beliau juga menyifatkan tindakan Amerika Syarikat dan Israel untuk mengusir keluar rakyat Gaza ke Jordan dan Mesir itu merupakan satu bentuk ‘pembersihan etnik’ dan ‘neo-kolonialisme’ terhadap rakyat Palestin.
“Ini satu perkara yang amat besar kerana ia menentukan masa depan bukan sahaja geopolitik timur tengah tapi juga dunia Islam dan pendirian moral Malaysia selaku pejuang Palestin dalam menangani isu ini.
“Kita tahu sudah banyak kali pembangkang mendesak kerajaan adakan sidang khas tapi setiap kali desakan ini dibuat perkara ini di ketepikan oleh Tuan Yang Dipertua dan bagi saya dengan alasan yang tidak munasabah.
“Ini adalah satu saat yang memerlukan keberanian daripada parlimen daripada Tuan Yang Dipertua untuk menyegerakan kerana ini isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau berkata, sokongan moral rakyat Malaysia amat penting dalam membantu rakyat Palestin yang ditindas.
“Jadi kalau kerajaan tidak dapat sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia khususnya Ahli-ahli Parlimen saya fikir usaha kerajaan untuk membantu membangunkan Gaza akan berdepan masalah.
“We know that the people of Malaysia are devided on this matter. Kenapa nak bantu Gaza? Kenapa nak bangunkan Gaza? Ada orang persoalkan wang cukai kita digunakan untuk Gaza.
“Jadi itulah kita nak bahaskan nak jelaskan kepada rakyat Malaysia, kepentingan kita terlibat dalam usaha ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang turut menzahirkan kebimbangan terhadap sebarang kerjasama melibatkan syarikat seperti BlackRock dan Global Infrastructure Partners (GIP), yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kepentingan Israel.
“Jadi pada masa yang sama kita juga ingin menegaskan kepada kerajaan bahawasanya sebarang kerjasama yang boleh merugikan
moral dan pendirian Malaysia.
“hususnya dengan Black Rock dan GIP yang saya fikir akan turut sama berkemungkinan besar membangunkan Gaza di bawah Pelan Donald Trump ini.
“Jadi perkara-perkara ini wajar kita semak dan selidik kerana ianya bertentangan dengan dasar luar dan kepentingan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











