
PADANG TERAP: Beberapa isu yang membelenggu nelayan Tasik Pedu akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, maklum Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid.
Menurut beliau, bukan hanya keperluan jeti pelantar untuk memudahkan kerja-kerja pemunggahan hasil tangkapan, malah isu-isu berkaitan kebajikan lebih 100 nelayan itu juga perlu diberi perhatian kerajaan.
“Sehingga kini, tiada seorang pun nelayan Tasik Pedu menerima Elaun Sara Hidup Nelayan Darat, iaitu sebanyak RM250 sebulan walaupun mereka sudah mendaftar.
” Mereka (nelayan) dinafikan hak itu atas alasan tidak mencapai syarat seperti tempoh jam dan hari menangkap ikan di tasik seperti yang di tetapkan oleh Jabatan Perikanan.
“Saya berharap Jabatan Perikanan melihat kembali syarat tersebut dan memberikan kelonggaran syarat kepada mereka yang kebanyakannya dari kalangan kurang berkemampuan,” jelasnya kepada Harakahdaily.
Seperkara lagi tegasnya, pihak berkenaan juga perlu melihat kembali keperluan mewujudkan jeti pelantar baharu, berikutan jeti sedia ada khususnya di Charok Batang Padi dan Pengkalan Mong Gajah, sudah agak uzur.
Malah katanya, tiada kemudahan asas seperti tandas, termasuk jalan masuk yang sempit, tidak rata, selain laluan curam serta merbahaya, menyukarkan pendaratan kerana tiada pelantar di gigi air.
“Isu kekurangan ikan di Tasik Pedu, juga sering saya bangkitkan. Setiap tahun pendaratan ikan semakin berkurangan. Sebagai contoh pada 2017 sebanyak 41,435 kilogram, tetapi pada tahun 2019 turun kepada 30,112 kilogram.
“Tetapi saya difahamkan Pejabat Perikanan Daerah Padang Terap telah memohon peruntukan tambahan kepada kementerian berkenaan untuk menambah benih ikan di Tasik Pedu. Saya harap ia menjadi kenyataan,” tegas beliau lagi.
Ketiadaan persatuan nelayan yang aktif di Tasik Pedu ini juga katanya, membuatkan tiada jalinan penghubung antara nelayan bersama agensi mahupun jabatan kerajaan.
Persatuan sedia ada jelas beliau, telah terkubur lantaran gagal mengadakan mesyuarat sejak sekian lama dan kini lebih didominasi secara individu.
“Itu sebab saya melihat kepentingan mewujudkan kembali persatuan nelayan tempatan di sini (Tasik Pedu) sangat penting, untuk membawa suara nelayan atau bantuan-bantuan yang wajar mereka perolehi.
“Saya sudah cadangkan hal ini kepada penduduk agar di tubuhkan persatuan nelayan yang baharu,” ujarnya sepertimana yang disebut pada perjumpaannya bersama nelayan Tasik Pedu, baru-baru ini.
Sementara tambahnya, walaupun telah disediakan projek perikanan iaitu penternakan ikan dalam sangkar di tasik itu, namun belum ada pelabur yang berminat untuk mengendalikannya, sedangkan ia berpontensi besar.
“Oleh itu saya berharap Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) lebih agresif mencari inisiatif baharu untuk memanfaatkan peluang ekonomi sedia ada di tasik itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ujarnya lagi, nelayan Tasik Pedu juga perlu dibantu dari sudut kelengkapan dan bantuan peralatan menangkap ikan. – HARAKAHDAILY 5/2/2025












