
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia diminta menjelaskan status kajian terhadap pelaksanaan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kesihatan di negara ini.
Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berkata, langkah tersebut bagi membantu pakar radiologi mengesan penyakit seperti kanser termasuk kemampuan untuk mengurangkan kos penjagaan kesihatan.
“Keberhasilan kajian awal penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu pakar radiologi mengesan penyakit seperti kanser serta potensi penurunan kos rawatan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni dalam jawapannya menjelaskan teknologi tersebut mempunyai potensi besar bagi mempertingkatkan lagi keupayaan sistem kesihatan.
Bagaimanapun beliau berkata, manfaat tersebut perlu dinilai dengan teliti bagi memastikan AI dapat memberi kesan positif meskipun sudah dilaksanakan dalam diagnosis dan pengesanan awal penyakit kanser.
Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan modul pembelajaran kecerdasan buatan (AI) di institusi pengajian tinggi.
Katanya, perkembangan teknologi dan revolusi perubatan kebelakangan ini semakin pesat berkembang dengan kehadiran AI yang dilihat mampu mengubah latar kehidupan dan cara kerja manusia.
“Cuma apabila menyentuh berkaitan dengan teknologi ini ia perlukan kemahiran. Soalan saya, adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan modul pembelajaran teknologi kecerdasan buatan ini.
“Adakah kerajaan akan memperkenalkan teknologi ini dalam silibus perubatan dan kejururawatan di universiti tempatan bagi melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam teknologi ini,” katanya.
Lukanisman menjelaskan Malaysia tidak ketinggalan memperkenalkan silibus AI dalam pendidikan perubatan dan kejururawatan tempatan.
Bagaimanapun katanya lagi, satu kajian komprehensif perlu dilaksanakan bagi mencapai hasrat tersebut kerana AI tidak bergantung pada satu teknologi sahaja bahkan, kemahiran dimiliki pakar perubatan.
Menurutnya, pihaknya sedang mengumpul banyak maklumat dan data bagi membangunkan teknologi tersebut secara lokal iaitu membabitkan perubatan dan rawatan mata. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











