Berikan perhatian masalah bantut dan pendengaran

Kanak-kanak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) menzahirkan kebimbangan terhadap kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak Malaysia yang masih tinggi dan memerlukan perhatian segera.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, sebanyak 21.2 peratus atau satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut akibat kekurangan zat makanan.

“Selain itu, laporan NHMS juga mendapati 6.8 peratus remaja turut mengalami masalah yang sama. Ini berpunca daripada kekurangan nutrisi yang mencukupi sepanjang tempoh kritikal pertumbuhan mereka,” katanya.

Tegas Rushdan, kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani isu ini, termasuk memperkukuh sistem bantuan makanan sihat kepada golongan miskin serta menstabilkan harga makanan asas seperti beras.

Menurutnya, karbohidrat termurah di Malaysia adalah beras, namun dengan kenaikan harga yang berlaku, ramai keluarga berpendapatan rendah terkesan dan ini memberi kesan langsung kepada pertumbuhan anak-anak mereka.

Beliau turut menyentuh kepentingan program Saringan Pendengaran Bayi Universal (UNHS) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengesan masalah pendengaran bayi seawal mungkin.

“Masalah pendengaran ini sukar dikesan secara fizikal dan sering hanya disedari apabila kanak-kanak mengalami kesukaran dalam pembelajaran.

“Program ini penting untuk membantu mereka lebih awal, namun ia berdepan cabaran kerana kekurangan pegawai audiologi di hospital kerajaan,” jelasnya.

Beliau mendedahkan bahawa Malaysia hanya mempunyai 288 pegawai audiologi di bawah KKM, sedangkan keperluan tenaga kerja dalam bidang ini semakin meningkat, terutama di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, Rushdan menyeru kerajaan untuk menambah bilangan pegawai audiologi dan memperluaskan pelaksanaan program saringan pendengaran bagi memastikan setiap bayi mendapat akses rawatan yang diperlukan. – HARAKAHDAILY 5/2/2025

- Advertisement -