Khatan Perdana warnai cuti akhir persekolahan

Wan Roslan menyiapkan pulut kepada peserta
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cuti akhir sesi persekolahan merupakan kesempatan sering dimanfaatkan ibu bapa untuk mengadakan atau menyertai program khatan bagi anak-anak mereka yang semakin menuju usia remaja.

- Advertisement -

Di TUMPAT, Kelantan, seramai 140 kanak-kanak mendaftar sebagai peserta menyertai program Khitan Perdana DUN Pengkalan Kubor yang berlangsung dengan penuh meriah, minggu lalu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dengan turut hadir sama, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Wan Roslan berkata, program ini diadakan bertujuan memudahkan urusan berkhatan bagi anak-anak di dalam DUN ini, selain menjadi medan mengeratkan ukhuwah antara penduduk setempat.

“Semoga anak-anak yang menyertai program ini membesar sebagai insan soleh dan berbakti kepada agama serta masyarakat,” katanya.

Suasana begitu meriah dengan sorakan penyokong kecil serta tepukan daripada ibu bapa yang hadir memberikan semangat kepada anak-anak mereka.

Terdahulu solat hajat diadakan di dewan kecil Pusat Khidmat DUN sebagai tanda kesyukuran dan doa keselamatan buat semua peserta.

Selepas sesi perasmian, para peserta diraikan dengan acara simbolik suapan pulut semangat sebelum mereka disegarkan dengan semburan air bomba.

Di KANGAR, Perlis program sama berlangsung di dua lokasi berasingan, iaitu di Surau Haji Abdul, Batu 2, dan di pekarangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Simpang Empat pada Sabtu, 1 Februari dan Ahad, 2 Februari kelmarin.

ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail berkata, PAS bukan sekadar sebuah parti politik yang hanya muncul ketika pilihan raya, tetapi merupakan sebuah gerakan Islam dan aktif dalam bidang pendidikan, dakwah, juga siasah.

“PAS sentiasa mendekati masyarakat dengan pelbagai program kebajikan, dan program seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Program ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yussaine Yahya, dengan khidmat perubatan dikendalikan oleh empat orang doktor dan 20 pembantu perubatan daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Perlis.

Seramai 31 peserta berumur antara lima hingga 13 tahun telah menyertai program ini.

Sementara itu, di DUN Simpang Empat, program Sunathon dan Kenduri Kesyukuran turut berlangsung dengan penyertaan 12 orang peserta dianjurkan oleh PKWR DUN Simpang Empat dengan kerjasama Majlis Tindakan DUN (MTD) dengan dihadiri ADUN Simpang Empat, Razali Saad.

Program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta tetapi juga mengeratkan hubungan antara PAS dengan masyarakat setempat melalui aktiviti kebajikan yang berterusan. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -